KUALA LUMPUR, 8 Julai – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini
menolak cadangan pihak tertentu agar polis menangkap bekas Perdana Menteri
Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dikatakan membuat kritikan yang menjejaskan
kredibiliti Perdana Menteri dan kerajaan.

“Tiada sebab untuk menangkap Dr Mahathir. Cadangan tersebut adalah satu
tindakan yang nakal dan saya tidak akan melayan permintaan tersebut,” katanya
kepada media selepas melancarkan kempen Ops Selamat 7/2015 sempena Hari Raya
Aidilfitri di KL Sentral hari ini.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata siasatan kes dakwaan dana 1MDB yang
diselewengkan dan pembelian kontroversi aset Dudley International House di
Melbourne, Australia oleh MARA Incorporated Sdn Bhd, tidak boleh didedahkan
sehingga siasatan selesai kerana ia boleh mengganggu siasatan dan bertentangan
dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sesiapa sahaja yang mendedahkan siasatan yang dijalankan oleh pasukan khas
boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak terlampau
ghairah dalam mengemukakan pendapat dan menyebarkan maklumat yang mereka terima
di laman sosial berkaitan dengan dua isu itu yang sedang hangat dibincangkan
ketika ini.

Khalid berkata mengikut Akta SPRM, sesiapa sahaja yang mendedahkan siasatan
yang dilakukan oleh pasukan khas sama ada berkaitan 1MDB atau pembelian aset
oleh MARA Incorporated Sdn Bhd, boleh dikenakan tindakan undang-undang.
-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY