KUALA KANGSAR, 15 Jun – Utamakan Keikhlasan…..Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak mengutamakan keikhlasan dalam pekerjaan dilakukan termasuk ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di sini dan Sungai Besar sekarang.

Katanya, setiap pekerjaan dan perjuangan yang dilakukan dengan hati ikhlas pasti akan menerima ganjaran daripada Allah serta boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

“Jika kita tidak ikhlas dalam perjuangan, sudah tentu akan timbul perasaan kekecewaan yang amat sangat (jika gagal dalam perjuangan). “Walaupun ketika jadi pemimpin seseorang itu mengatakan dia ikhlas, tapi bila Allah uji, Allah beri ujian secara tunai (jika betul ikhlas),” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Masyarakat Setempat dan Solat Maghrib di Masjid Kampung Kubang Pekan di sini.

Ahmad Zahid berkata, semua pihak yang terbabit dalam PRK sejak hari penamaan calon hingga hari pengundian tanpa mengira parti harus menyematkan perasaan ikhlas dalam pekerjaan mereka jika mahu usaha mereka menerima ganjaran Allah.

Katanya, mereka yang menderma jutaan ringgit jika disertai dengan perasaan riak dan takbur hanya mendapati sumbangan mereka itu sia-sia sahaja berbanding mereka yang menderma sedikit tetapi ikhlas.

Malah, katanya, dalam al-Quran ada menyebut bahawa iblis tidak akan dapat menggoda manusia yang ikhlas dalam melakukan pekerjaan mereka. – WD MY

LEAVE A REPLY