Ikhlas Desak SPRM Siasat Perancangan Untuk Robohkan Ampang Park

Ikhlas Desak SPRM Siasat Perancangan Untuk Robohkan Ampang Park

782
0

KUALA LUMPUR 27 Feb – Gesa….. Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta melakukan siasatan segera berhubung perancangan untuk merobohkan pusat beli-belah Ampang Park, Kuala Lumpur bagi tujuan pembinaan Projek Transit Aliran Massa (MRT) kata Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah.

Ridzuan berkata, tindakan itu menimbulkan keraguan memandangkan perancangan awal hanya melibatkan laluan bawah tanah.

“Segelintir pihak daripada Ampang Park Management Corporation (APMC), Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan pejabat tanah telah bersepakat menyokong tindakan itu kerana mempunyai agenda yang tertentu.

“Oleh itu, saya dan 253 pemilik strata dalam bangunan kompleks Ampang Park itu berharap SPRM segera menyiasat serta bertegas tidak akan berpindah,” katanya.

Terdahulu, lebih 30 pemilik strata membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini, seramai 39 pemilik strata memohon penangguhan itu sementara menunggu rayuan mereka di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 Jun tahun lepas., yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka bagi mencabar pengambilan tanah untuk projek pembinaan MRT Stesen Ampang Park. Mahkamah Tinggi memutuskan pengambilan tanah itu dibuat mengikut peruntukan undang-undang.

Pada 8 Januari lalu, 39 peniaga berkenaan memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Wilayah Persekutuan, Kerajaan Malaysia, Pengarah Tanah dan Galian dan Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden sebelum menggugurkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Mereka memohon deklarasi Borang D bertarikh 17 Ogos 2015 dan Borang E bertarikh 22 Oktober 2015 Akta Pengambilan Tanah 1960 yang dikeluarkan responden adalah tidak berperlembagaan, menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah. – WD MY