KUALA LUMPUR, 24 Julai – Lafaz…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir menyaksikan majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, menunjukkan komitmen kementeriannya dalam membendung amalan rasuah membabitkan anggota penguat kuasa.

Pada majlis itu, beliau sendiri menyaksikan lafaz ikrar yang dibacakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bersama lebih 200 anggota PDRM.

Selesai lafaz ikrar, Ahmad Zahid menyaksikan majlis menandatangani dokumen IBR antara Abdul Khalid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad.

Khalid pada sidang media selepas majlis itu berkata, pihaknya menyasarkan sifar rasuah dalam kalangan anggota PDRM dan pelbagai usaha akan dibuat bagi mencapai objektif berkenaan.

Beliau mengakui wujud amalan rasuah dalam kalangan anggotanya, namun usaha mencegah perbuatan itu mesti bermula dari keikhlasan diri anggota untuk menolak rasuah.

Katanya, PDRM sendiri mewujudkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang berperanan memastikan integriti pegawai dan anggota mencapai tahap tertinggi.

“Beberapa langkah sudah diatur oleh JIPS untuk memastikan rasuah dapat dikawal dalam kalangan anggota PDRM. Langkah yang patut akan kita ambil bagi memastikan kegiatan ini tidak terus berlaku dalam PDRM, ” katanya.

Katanya, IBR diadakan secara serentak hari ini di semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri (IPK) seluruh negara. – WD MY