KUALA LUMPUR, NOVEMBER 12: ICERD….Wakil Rakyat DAP perlu bersifat terbuka untuk Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) tidak diiktiraf jika menyokong Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kata bekas ahli parti itu Amran Ahmad Nor.

Beliau berkata demikian merujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Tanah Rata Chiong Yoke Kong dan Tras Chow Yu Hu yang mengeluarkan kenyataan bahawa DAP perlu menyokong usaha kerajaan meratifikasi ICERD.

“Juga, setujukah kamu untuk mengiyakan pandangan saya agar kerajaan tidak perlu mengiktiraf dan haramkan pengambilan sijil UEC oleh pelajar Malaysia agar prinsip kesaksamaan antara kaum dapat ditegak bagi menjamin keadilan untuk semua.

“Memang tak boleh la kalau hanya sebut hak-hak Bumiputera nak dinyahkan atas prinsip kesaksamaan dan sokong ICERD tetapi sekolah aliran Cina boleh terus beroperasi dan terus berkembang selain iktiraf UEC sementelah DAP kini dah mentadbir Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam satu kenyataan bersama, ADUN Tanah Rata dan Tras, berkata DAP perlu memperbetulkan sistem dan dasar perkauman Barisan Nasional (BN) secara beransur-ansur sekali gus menghentikan politik perkauman selama ini.

Justeru, , jika parti itu mahu menjadi sebuah parti untuk semua rakyat, ia sepatutnya bermula dengan memberi sokongan di Parlimen atau Kabinet untuk meratifikasikan ICERD.

Desakan menerusi kenyataan bersama itu dibuat ketika DAP mengadakan kongres di peringkat negeri.

Mengulas lanjut, Amran berkata, jika Pakatan Harapan nekad mahu bertindak sedemikian, justeru semua Sekolah Jenis Kebangsaan perlu dihapuskan, seiring dengan menghapuskan segala bentuk diskriminasi kaum.

“Sebelum nak sokong ICERD ini, saya nak tanya, jika kedua-dua wakil rakyat ‘junior’ ini ikhlas dalam membina masyarakat bangsa Malaysia, setujukah kamu untuk saya mencadangkan agar kita menghapus sekolah aliran Cina apabila sokong ICERD.

“Buat apa nak asingkan masyarakat mengikut kaum sedangkan Pakatan Harapan kini sudah berkuasa dan boleh mewujudkan sekolah kebangsaan sepenuhnya dalam melahirkan bangsa Malaysia,” katanya yang juga merupakan Presiden Presiden Consent Malaysia.

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP berpandangan, jika parti itu mahu menjadi sebuah parti untuk semua rakyat, ia sepatutnya bermula dengan memberi sokongan di Parlimen atau Kabinet untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).-MY WD