KUALA LUMPUR, 25 Mei – Tegas……. “Saya tak pandang bulu. Saya buta warna. Saya tak malu ambil tindakan.” Nada tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merujuk kepada tindakan yang tetap diambil ke atas pegawai atau penguat kuasa agensi dan jabatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berikutan terbabit dalam kes jenayah termasuk rasuah.

Ahmad Zahid berkata, ketiadaan tindakan tegas akan menyebabkan jenayah sedemikian merosakkan keseluruhan integriti jabatan, agensi dan kementerian.

Selaku Menteri Dalam Negeri, beliau menyatakan iltizam menutup ruang kompromi dengan mana-mana pegawai atau penguat kuasa yang disabitkan dengan jenayah rasuah.

“Saya tidak malu mengambil tindakan terhadap pihak yang menjadi pegar makan padi atau nila setitik yang merosakkan susu sebelanga.

“Saya tidak pernah mahu berkompromi, saya tidak pun berasa malu apabila ada ‘tangan’ yang dipotong kerana ‘diabetes’. Kalau tidak dipotong akan merosakkan satu badan. Kita perlu bersihkan supaya kita bersih dan harus kelihatan bersih. Kita mahu persepsi berubah dan kebolehpercayaan meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan Timbalan Perdana Menteri bersama peserta Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) Institut Tadbiran Awan (INTAN) 2016 di INTAN di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Suriani Ahmad bertindak selaku moderator.

Majlis itu julung kali diadakan membabitkan pengurusan tertinggi kerajaan dengan peserta yang bakal melangkah ke sektor perkhidmatan awam.

Ahmad Zahid berkata, persepsi terhadap pasukan penguatkuasaan tidak pernah berubah walaupun indeks jenayah menurun.

“Ada pihak masih menganggap Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak buat kerja, KDN tidak cukup kuat, malah Menteri KDN juga dilihat tidak cukup bagus.

“Persepsi tidak berubah sebab dalam diri kita masih ada prasangka atau prejudis.

“Prejudis bermula dengan tanggapan pertama, terutama mutakhir ini apa yang berlaku di Melaka, Bukit Aman dalam kalangan pegawai polis, di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik atau unit yang mengendalikan jenayah, maksiat, pelacuran dan judi.

“Kita mahu lihat semangat ini, bukan saja dalam kalangan pegawai polis tetapi semua agensi penguatkuasaan. Sukar untuk dilaksanakan tetapi tidak mustahil.

“Tahniah pada Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara, pegawai polis bersih yang mahu lihat PDRM berada di barisan hadapan walaupun terpaksa ‘potong kaki dan tangan yang menghidap diabetes’,” katanya. – WD MY