PUTRAJAYA, 21 Mei – TABUNG…. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin JIM untuk mengutip dana bagi misi bantuan dan aktiviti kemanusiaan untuk warga Palestin, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata perkara itu antara fokus dalam mesyuarat pegawai JIM dan Aman Palestin yang dipengerusikannya di ibu pejabat JIM di sini bagi membincangkan isu-isu kemanusiaan berhubung Palestin serta langkah-langkah kerjasama yang boleh dilaksanakan kedua-dua  pihak.

Katanya, mesyuarat itu merupakan satu platform bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan isu-isu kemanusiaan di Palestin, kesucian Baitulmaqdis dan isu-isu imigresen yang memerlukan pemerhatian dan penelitian lanjut.

“Tabung Kemanusiaan Palestin JIM ini diharapkan sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung rakyat Palestin dengan seliaan Aman Palestin.

“Tabung ini akan dilancarkan dalam bulan Ramadan ini dan diharapkan seluruh warga Imigresen serta seluruh masyarakat Malaysia dapat memberikan sumbangan bukan setakat bulan Ramadan ini sahaja tapi sumbangan yang berterusan demi membantu mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan  Ketua Pengarah (Kawalan) Datuk Shahril Ismail manakala  Aman Palestin di wakili  Ustaz Awang Suffian Awang Piut, Ustaz Anas Abdul Wahab, dan beberapa pegawai daripada pengurusan Aman Palestin.

Dalam pada itu, Mustafar berkata pihaknya sentiasa komited dalam menentukan aspek penguatkuasaan dan kawalan sempadan dilaksanakan tanpa kompromi demi memastikan kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan negara terjamin serta terpelihara sepanjang Ramadan ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan JIM tetap tidak sesekali mengetepikan nilai-nilai kerohanian dan kemanusiaan untuk setiap warga Imigresen.

“Semua warga Imigresen diseru untuk terus mempertingkatkan infak dan sedekah sepanjang bulan Ramadan ini sebagai lambang kesyukuran ke atas pelbagai nikmat yang telah Allah SWT kurniakan sambil mengingati mereka yang kurang bernasib baik ditimpa dengan ujian kesusahan dan penderitaan peperangan,” katanya. – WD MY