PUTRAJAYA, 29 Nov – TEMUI… Jabatan Imigresen menemui tambahan wang tunai RM1.45 juta yang disembunyikan dalam peti besi di sebuah bilik hotel di Kota Kinabalu dalam Ops Gegar, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata wang tunai itu ditemui susulan penahanan seorang suspek wanita berusia 46 tahun pada jam 12 tengah hari, semalam.

Beliau berkata, penemuan terbaharu itu, susulan daripada Ops Gegar itu membuat jumlah keseluruhan mencecah RM14.5 juta, menjadikan ia rampasan wang tunai terbesar dalam sejarah jabatan itu.

“Susulan penahanan wanita itu yang juga isteri kepada salah seorang suspek lelaki, kita pergi semula ke lokasi hotel yang diserbu pada Jumaat lalu dan pemeriksaan lanjut menemui peti besi dalam sebuah bilik.

“Kita terpaksa meminta bantuan pakar bagi membuka kombinasi nombor peti besi berkenaan sebelum berjaya menemui not RM100 dan RM50 berjumlah RM1.45 juta keseluruhannya,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Minggu lalu, serbuan Jabatan Imigresen Sabah menerusi Ops Gegar menemui wang tunai berjumlah RM11.88 juta di sebuah bilik hotel sebelum pemeriksaan susulan di sebuah apartmen berhampiran menemui lebih RM1.17 juta lagi.

Seramai 17 gadis dan wanita warga Filipina berusia belasan tahun hingga 40-an yang ditempatkan dalam enam bilik hotel terbabit yang dipercayai dieksploitasi sebagai pelacur turut diselamatkan dalam operasi berkenaan.

Turut ditahan tiga lelaki membabitkan dua rakyat tempatan dan seorang warga Fiipina menjadikan 21 orang ditahan setakat ini bagi membantu siasatan kes. – WD MY