KUALA LUMPUR, 20 Dis – Menurun….. Indeks jenayah seluruh negara dilaporkan
menurun namun persepsi masyarakat terhadap kejayaan penurunan indeks itu tidak meningkat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata kadar jenayah telah berkurangan antara 4.2 peratus hingga
12.6 peratus dari 2011 hingga tahun lepas tetapi persepsi tidak meningkat kerana
wujud prasangka terhadap pihak polis.

“Ada antara kita tidak mahu mengakui hakikat bahawa pihak polis telah
menjalankan tugas dan pada waktu yang sama ada sesetengah media tidak mahu
mengakui hakikat dan pencapaian ini,” katanya ketika menjawab soalan Senator
Chia Song Cheng pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara hari ini.

Chia ingin tahu statistik kadar kes jenayah seluruh negara dan usaha Kementerian mengubah persepsi rakyat terhadap kadar jenayah.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kejayaan penurunan ini
hasil program penurunan kadar jenayah yang dilakukan Polis Diraja Malaysia
dengan pelbagai pendekatan termasuk soal pencegahan, pembanterasan dan
pendakwaaan.

“PDRM sentiasa berusaha untuk mengurangkan peratusan indeks jenayah ini dan komited untuk bekerjasama dengan seluruh agensi penguatkuasaan dalam
menjayakannya,” katanya

Ahmad Zahid berkata berita negatif yang ditimbulkan itu tidak mustahil
disertai dengan niat yang tidak baik.

“Meskipun berbeza pendapat, sesuatu fakta itu hendaklah diakui kebenarannya.
Saya melihat situasi ini seperti mempolitikkan sesuatu yang ditolak sebagai
fakta.
Perkara sebegini perlu ditentukan oleh masyarakat sendiri untuk membuat
penilaian yang objektif,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Ahmad Zahid berkata pelbagai langkah diambil
dalam menangani kes jenayah termasuk memodenkan usahapencegahan jenayah,
menambah aset dan peralatan dengan meletakkan kamera litar tertutup yang
berteknologi tinggi di kawasan berisiko selain kerjasama dengan pihak berkuasa
tempatan. – WD MY