LONDON, 27 Dis – ATASI…. Negara India bakal mengatasi Britain dan Perancis tahun depan untuk menjadi ekonomi kelima terbesar di dunia dalam nilai dolar, menurut satu laporan dikeluarkan hari ini.

Laporan Jadual Liga Ekonomi Dunia 2018, Pusat Kajian Penyelidikan Ekonomi dan Perniagaan (Cebr) menunjukkan pandangan positif mengenai ekonomi global, didorong oleh harga tenaga dan teknologi yang disifatkan murah.

Peningkatan India sebahagian daripada trend yang akan menyaksikan ekonomi Asia semakin menguasai 10 ekonomi terbesar dalam tempoh 15 tahun akan datang.

“Walaupun dalam keadaan buruk untuk seketika, ekonomi India masih setanding dengan Perancis dan United Kingdom (UK) dan pada 2018 akan mengatasi kedua-dua negara itu untuk menjadi ekonomi kelima terbesar dunia dalam nilai dolar,” kata Timbalan Pengerusi Cebr, Douglas McWilliams.

McWilliams berkata, pertumbuhan India diperlahankan oleh sekatan ke atas wang kertas bernilai tinggi dan cukai jualan baharu, pandangan yang dikongsi oleh ahli ekonomi yang ditinjau oleh Reuters.

China mungkin mengatasi Amerika Syarikat (AS) sebagai ekonomi nombor satu di dunia pada tahun 2032, kata Cebr.

“Disebabkan oleh kesan Presiden Trump mengenai perdagangan kurang teruk daripada yang dijangkakan, AS akan mengekalkan mahkota teratas di peringkat global, setahun lebih lama daripada yang kita jangka dalam laporan terakhir,” kata laporan itu.

Tatkala Britain kelihatan jauh ketinggalan di belakang Perancis dalam beberapa tahun akan datang, Cebr meramalkan bahawa kesan Brexit terhadap ekonomi Britain akan kurang dibimbangi, membolehkannya mengatasi Perancis pada 2020.

Russia terdedah kepada harga minyak yang rendah dan terlalu bergantung kepada sektor tenaga, dan kelihatan cenderung jatuh ke tangga ke-17 dalam kalangan ekonomi terbesar dunia menjelang 2032, dari kedudukan sekarang iaitu ke-11.

Tinjauan Reuters dalam kalangan ahli ekonomi pada akhir Oktober mencadangkan pertumbuhan ekonomi global pada 2018 kelihatan meningkat sedikit kepada 3.6 peratus daripada 3.5 peratus tahun ini, dengan risiko terhadap ramalan itu bergantung kepada tahap pertumbuhan. – WD MY