KUALA LUMPUR, JAN 3: MINYAK SAWIT…Niaga hadapan minyak sawit di Bursa Malaysia Derivatives Exchange (BMDE) naik ke paras tertinggi dalam tempoh dua minggu pada hari dagangan pertama 2019, selepas India merendahkan cukai import ke atas minyak sawit.

Niaga hadapan minyak sawit di BMDE semalam melantun semula sebanyak RM50 setiap tan atau 2.3 peratus, daripada RM2,121 satu tan pada 31 Disember 2018 kepada RM2,171 satu tan, pada penutup dagangan.

Penganalisis positif bahawa permintaan India terhadap minyak sawit akan meningkat, berikutan keputusan terkini kerajaan negara itu mengurangkan duti import minyak sawit mentah (MSM) dan minyak sawit ditapis (RPO), berkuat kuasa 1 Januari 2019.

India adalah pembeli minyak sawit terbesar dunia, mengimport 15.5 juta tan setahun minyak masak, sebahagian besarnya dari Malaysia dan Indonesia.

Menurut notis kerajaan India yang dikeluarkan pada 31 Disember 2018, duti MSM dari Malaysia, Indonesia dan negara ASEAN lain dipotong kepada 40 peratus daripada 44 peratus, manakala cukai ke atas RPO dikurangkan kepada 45 peratus daripada 54 peratus.

Penganalisis CIMB Research, Ng Lee Fang, dalam notanya menyatakan bahawa perubahan dasar terkini kerajaan India adalah positif terhadap minyak sawit kerana ia akan mengurangkan jurang perbezaan duti import antara minyak kelapa sawit dan minyak masak lain seperti minyak kacang soya dan minyak bunga matahari.

“Semakan semula ini bukan sesuatu yang mengejutkan,” katanya sambil menambah Menteri Industri Utama Malaysia sebelum ini menyatakan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif antara India dan Malaysia menyebut bahawa duti import untuk CPO dan RPO masing-masing akan dikurangkan kepada 40 peratus dan 45 peratus berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Secara keseluruhannya, berita ini memberi sedikit petunjuk positif terhadap syarikat perladangan kelapa sawit dan penapisan minyak sawit di Malaysia.

“Kami jangkakan perkara ini akan meningkatkan permintaan India terhadap RPO dari Malaysia berbanding mengorbankan minyak masak lain serta minyak sawit dari tempat lain kerana harganya yang lebih kompetitif,” katanya.

“MSM pada masa ini didagangkan dengan diskaun sekitar AS$212 satu tan berbanding minyak kacang soya. Kami secara keseluruhannya positif dalam perkembangan ini kerana ia dapat membantu mengembalikan semula bahagian pasaran minyak sawit dari jumlah import minyak masak di India, yang menurun kepada 60 peratus pada tempoh November 2017-Oktober 2018 dari 62 peratus pada setahun yang lalu,” katanya.

CIMB Research mengekalkan penarafan ‘neutral’ kerana kenaikan harga MSM dilihat akan berlaku secara beransur-ansur.

Maybank Kim Eng, dalam nota penyelidikannya semalam, memberitahu pelabur bahawa selagi kerajaan India mengekalkan duti import minyak sayur-sayuran lain seperti soya, biji sesawi dan bunga matahari, tidak berubah, ia akan membantu Malaysia meningkatkan eksportnya, mengurangkan bekalan stok dan mengangkat naik harga minyak sawit mentah.

Ia turut mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor perladangan serantau, berkata syarikat penapis dan pengeksport yang berpangkalan di Malaysia akan mendapat manfaat yang lebih banyak berbanding dari Indonesia.-MY WD