NEW DELHI, 15 JUN – CUACA….. Pakar kaji cuaca dan aktivis hak asasi manusia India berkata, lebih banyak bandar di negara itu perlu melaksanakan pelan tindakan haba yang termasuk amaran menerusi mesej teks dan stesen penyejukan bagi meminimumkan kematian dan penyakit berkaitan kenaikan suhu.

Sekurang-kurangnya 36 orang maut akibat gelombang haba tahun ini dengan ibu kota India di sini merekodkan suhu tertinggi 48 darjah Celsius sementara di Churu, Rajasthan mencecah 51 darjah Celsius.

“Bandar besar mengalami kenaikan suhu kerana permukaan berturap dan kekurangan pokok sebagai pelindung menyebabkan ‘pulau haba bandar’.

“Bandar terbabit menerima impak gelombang haba kerana ia amat padat dengan penduduk dan kerana kesannya lebih dirasai.

“Namun bukan semua bandar memiliki kapasiti melaksanakan langkah diperlukan dan kekurangan rekod perubatan komprehensif menjadikannya sukar menyasar kumpulan terdedah seperti gelandangan dan pekerja pendatang,” kata Sayantan Sarkar yang membantu melaksanakan Pelan Tindakan Haba (HAP) pertama India di Ahmedabad pada 2013.

Gelombang haba di India biasanya berlaku sebelum tempoh pra-monsun bermula April hingga Jun.

Ahmedabad melaksanakan HAP selepas gelombang haba pada 2010 menyebabkan lebih 1,300 kematian berkaitan kepanasan melampau.

Pelan itu termasuk sistem amaran awal menggunakan paparan elektronik di tempat awam dan mesej teks, melatih kakitangan perubatan mengenal pasti dan memberi tindak balas terhadap penyakit berkaitan haba serta ‘bumbung sejuk’ yang memantulkan permukaan atau saduran mengurangkan suhu di perumahan pendapatan rendah serta tidak rasmi.

Sejak dilaksanakan, HAP membantu mencegah kira-kira 1,100 kematian setiap tahun di Ahmedabad, menurut kajian diterbitkan dalam ‘Journal of Environmental and Public Health’ tahun lalu. – WD MY