PEKANBARU, 17 SEPT – SUKAR….. Ribuan anggota bomba Indonesia bertungkus-lumus tanpa henti dalam memadamkan api yang sukar dilihat, iaitu kebakaran dalam tanah.

Banyak kebakaran meluas memusnahkan hutan hujan di seluruh negara kepulauan terbabit sehingga mencetuskan jerebu toksik ke Asia Tenggara.

Situasi itu mencetuskan kebimbangan kesihatan dan menyebabkan hubungan Indonesia dan beberapa negara jirannya tegang.

Difahamkan, Jakarta sudah mengerahkan lebih 9,000 anggota untuk membendung kebakaran yang mengubah suasana wilayah paling teruk terjejas, Sumatera dan Borneo.

Namun, banyak kebakaran berlaku jauh di dalam tanah yang sebelum ini kawasan paya, api boleh bertahan selama berbulan-bulan.

“Amat sukar mengawal kebakaran di tanah gambut. Walaupun kami berjaya memadamkan api di permukaan, kadang-kadang ia masih hidup kerana di bawah tanah.

“Kemudian keesokan harinya, api di permukaan akan kembali hidup,” kata seorang anggota bomba, Hendri Kusnardi yang kelihatan amat letih dan kotor akibat memadamkan kebakaran. – WD MY