SYDNEY, 24 Feb – Bincangkan…… Presiden Indonesia,  Joko ‘Jokowi’ Widodo bincang isu berkaitan rondaan bersama dengan Australia di Laut China Selatan apabila bertemu Perdana Menteri Malcolm Turnbull hujung minggu ini.

Widodo berkata beliau mahu mengadakan rondaan bersama dengan negara itu, namun hanya jika kerjasama itu tidak menyemarakkan ketegangan dengan China.

“Jika tiada ketegangan, saya rasa amat penting untuk melakukan rondaan bersama. Kami akan membincangkan perkara ini dengan Turnbull,” katanya.

Indonesia mengambil tindakan berkecuali dalam krisis Laut China Selatan, bertindak sebagai penampan kepada China dan negara anggota ASEAN lain terutama Filipina dan Vietnam.

Namun selepas China menaikkan kemarahan Indonesia dengan mengatakan kedua-dua negara memiliki ‘tuntutan bertindih’ di perairan berhampiran Pulau Natuna Indonesia, Jakarta bertindak mengadakan latihan berskala besar di Laut China Selatan Oktober lalu.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan. Selain itu, Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam turut menuntut sebahagian lagi laut itu.

Australia, yang tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam pertikaian itu namun menyokong kebebasan pelayaran diketuai Amerika Syarikat, berusaha memulihkan hubungan dengan Indonesia selepas perbalahan terbaru.

Indonesia menggantung kerjasama ketenteraan dengan Australia Januari lalu selepas bahan pengajaran ‘menghina’ ditemui di pangkalan tentera Australia. Ketika ketua tentera Australia memohon maaf kepada Indonesia bulan lalu, kerjasama ketenteraan masih digantung. – WD MY