Indvidu Rancang Serangan Ala Militan Diberkas – KPN Mohamad Fuzi

0
45

KUALA LUMPUR,13 Okt –TAHAN…. Polis menahan beberapa individu termasuk seorang pelajar sekolah yang dipercayai merancang melakukan serangan ala militan di beberapa lokasi dalam negara.

Kesemua suspek yang ditahan dalam beberapa operasi berasingan di Kelantan sejak Selasa lalu dipercayai merancang mahu melakukan serangan itu menggunakan bahan letupan.

Susulan tangkapan itu, polis turut menemui bahan letupan selain siasatan mendapati ada antara suspek mempunyai kemahiran membuat senjata berbahaya itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ketika mengesahkan perkara berkenaan enggan mendedahkan lebih lanjut berhubung butiran tangkapan itu.

“Ya ada tangkapan dibuat terhadap beberapa individu yang cuba melakukan serangan dalam negara namun saya tidak boleh dedahkan maklumat lanjut kerana ia masih dalam proses siasatan.

“Bagi kami (polis) jalankan siasatan dahulu dan satu kenyataan akhbar berhubung tangkapan itu akan dibuat dalam tempoh dua atau tiga hari lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di Pusat Latihan Polis di Jalan Semarak di sini sebentar tadi.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Arcyl Sani Abdullah Sani menggantikan Pengarah StaRT selepas Datuk Abd Manan Mhd Hassan bersara wajib semalam selepas berkhidmat selama 41 dalam pasukan.

Sementara itu, Datuk Amar Singh Ishar Singh yang pada masa ini masih memegang jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur dilantik sebagai Pengarah JSJK yang baru.

Jawatan baru Acryl Sani dan Amar Singh akan berkuatkuasa 9 November depan. – WD MY