KUALA LUMPUR, MAC 20:INFLASI….RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) mengunjurkan kadar inflasi teras Malaysia akan susut secara ketara kepada 1.8 peratus pada Februari 2018 berikutan penurunan selama dua bulan berturut-turut sebelum ini.

Menurut agensi penarafan itu, kadar inflasi teras itu masing-masing susut kepada 2.7 peratus pada Januari 2018 dan 3.5 peratus dalam Disember 2017.

“Penyumbang utama kepada kadar inflasi lebih rendah pada Februari itu adalah disebabkan oleh pertumbuhan negatif bahan api berikutan harganya yang lebih rendah serta kesan asas lebih tinggi daripada tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Harga purata petrol RON95 susut RM0.02 kepada RM2.26 seliter pada Februari 2018 dan ternyata berbeza daripada kenaikan ketara RM0.20 kepada RM2.30 seliter yang dicatat pada Februari 2017.

“Berikutan kesan asas yang tinggi dijangka terus menyederhanakan sumbangan komponen pengangkutan, inflasi teras itu diunjur susut kepada 2.5 peratus pada 2018 berbanding 3.7 peratus tahun lepas,” kata RAM Ratings.

Sementara itu, pertumbuhan harga komponen makanan dan minuman bukan beralkohol dalam inflasi teras itu dijangka seiring dengan pertumbuhan purata 3.7 peratus pada 2018 – menurun sedikit berbanding 4.0 peratus pada 2017 berikutan faktor tolakan kos sekali gus yang semakin berkurangan.

RAM Ratings juga menjangkakan komponen itu akan terus menjadi pemacu utama inflasi teras memandangkan kepentingannya dalam indeks harga pengguna.

“Komponen makanan dan minuman bukan beralkohol masih memberi kesan penting iaitu 29.5 peratus pada Januari 2018 walaupun disemak turun daripada 30.2 peratus,” katanya.

Harga gas asli, bahan api yang lebih banyak digunakan oleh kalangan industri berbanding isi rumah, disemaknaik pada Januari 2018.

Walaupun tarif purata gas dalam separuh pertama 2018 adalah 23.6 peratus lebih tinggi bagi tahun ke tahun, ia bagaimanapun tidak memberi kesan ketara dari segi kenaikan dalam harga pengguna.

“Ini menunjukkan kalangan perniagaan tidak berkemungkinan melepaskan kos peningkatan itu kerana mereka membuat penilaian dan mengutamakan strategi penetapan harga optimum,” katanya.

RAM Ratings berkata, ia akan terus memantau kesediaan pasaran untuk melepaskan kos peningkatan itu bagi menilai risikonya terhadap inflasi menyeluruh pada 2018.

“Kami tidak menjangkakan sebarang kenaikan baharu Kadar Dasar Semalaman (OPR) tahun ini berdasarkan jangkaan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan inflasi yang lebih menyederhana iaitu masing-masing pada 5.2 peratus dan 2.5 peratus pada 2018.

Menurut agensi penarafan itu, walaupun andaiannya itu berdasarkan kes, sebarang tindakan oleh Bank Negara Malaysia pada masa depan adalah berasaskan data.

“Oleh itu, sebarang kenaikan (OPR) baharu mungkin berlaku jika pertumbuhan KDNK terus meningkat dan risiko inflasi adalah ketara,” katanya.-MY WD