KUALA LUMPUR, 13 Mei – Ingatkan….. PARA Ibu bapa perlu mengingatkan anak mereka tentang perjuangan kerajaan dan parti seperti UMNO, MCA dan MIC dalam meningkatkan tahap pendidikan negara, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata sejak 60 tahun lalu, kerajaan menerusi ketiga-tiga parti itu sentiasa bersatu hati bagi memenuhi kepentingan pelbagai kaum di negara ini termasuk dalam bidang pendidikan.

“Saya mahu ingatkan ibu bapa supaya beritahu kepada anak-anak perkara yang sebenar tentang perjuangan terdahulu kerajaan dalam membantu meningkatkan pendidikan setiap kaum di negara ini. Jangan sorok benda ini daripada anak-anak.

“…Mereka perlu tahu sejarah ini kerana anak-anak inilah yang akan membawa perjuangan kita dan menjadi pemimpin masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2017  melibatkan lebih 500 pelajar dari Wilayah Persekutuan di sini, malam tadi.

Mereka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Majlis anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan itu menyaksikan setiap pelajar menerima sumbangan wang berbentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i)  antara RM200 dan RM500, mengikut kategori masing-masing. – wD MY