SHAH ALAM,SEPTEMBER 9: TERKEJUT….Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak agar Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengotakan janji-janjinya.

Asyraf berkata, beliau amat terkejut dengan tindakan Maszlee ‘yang cakap tidak serupa bikin’ apabila menerima jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Jelasnya, meskipun beliau secara peribadi menghormati kebolehan Maszlee untuk memegang jawatan sebagai Presiden UIAM, namun rakyat pastinya menagih janji beliau yang bertekad untuk tidak mencampuri urusan pentadbiran universiti.

“Yang membuat kami terkejut apabila YB menerima jawatan Presiden UIA, pada masa sama Setiausaha Politik YB pula dilantik Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, SEMALAM.

Dalam pada itu, Asyraf turut memetik kenyataan Maszlee dalam satu temuramah bertarikh tujuh Jun 2018 berhubung perkara ini.

“Ini merupakan era baru. Saya (Maszlee) akan pastikan Kerajaan PH tidak akan sampai bila-bila memperalatkan universiti untuk kepentingan politik… ini termasuk diri saya,” petiknya.

Oleh itu ujar Asyraf, Maszlee seharusnya mengotakan janji beliau berhubung perkara tersebut dengan melantik tokoh yang lebih layak.

“Kotakan janji YB, lantiklah tokoh cendekiawan yang dihormati rakyat untuk mengemudi universiti dalam era kerajaan baharu ini,” katanya.

Semalam, Persatuan Staf Akademik UIAM mengucapkan tahniah kepada Maszlee atas pelantikannya sebagai presiden universiti itu di halaman Facebook rasminya.-MY WD