PUTRAJAYA, 27 Ogos – CUKAI…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Syarikat pemasang basikal tempatan wajar dipertimbangkan untuk insentif cukai dalam Bajet 2018.

Ahmad Zahid mengesyorkan supaya pengimport basikal diberi potongan atau pengecualian terus cukai untuk menggalakkan sukan berbasikal dalam kalangan rakyat.

“Tetapi pada hemat saya, (usaha ini dapat direalisasikan) jika kerajaan dapat menggalakkan industri pemasangan supaya industri pemasangan lumba basikal dapat diberi insentif terutamanya dari segi cukai.

“Semasa pengumuman bajet, tolong ambil kira bahawa pemasangan basikal di syarikat-syarikat tempatan diberikan galakan cukai,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Penaung Jelajah Malaysia turut berharapkan insentif serupa diberi kepada produk basikal import.

Sebanyak 20 pasukan lumba basikal akan menyertai perlumbaan edisi ke-53 itu yang akan diadakan dari 3 hingga 7 Okt , melibatkan laluan lima peringkat dengan jarak keseluruhan 679.9 kilometer.

“Sukan berbasikal ini juga perlu digalakkan bukan sahaja oleh pihak kerajaan tetapi juga pihak swasta dan individu.

“Kita juga menggalakkan lebih ramai rakyat terlibat dalam sukan di peringkat tempatan dan antarabangsa agar lebih banyak pingat emas diperoleh,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan tajaan kerajaan sebanyak RM500,000 untuk perlumbaan Jelajah Malaysia pada tahun depan.

Ahmad Zahid berharap inisiatif kerajaan itu bukan sahaja dapat mewujudkan masyarakat yang lebih sihat, malah melahirkan atlet berbasikal bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program Laluan Jelajah Malaysia 2017, hari ini.

Beliau turut mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menaja sebanyak RM500,000 bagi acara itu tahun depan. – WD MY