BAGAN DATUK, 27 Feb – BANTUAN …. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan memberi insentif dalam bentuk kewangan kepada golongan peladang dan penternak sebagai usaha menghargai sumbangan mereka kepada negara selama ini.

Beliau turut meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memikirkan kaedah yang boleh digunakan dan sesuai untuk menghargai golongan peladang serta penternak itu.

Katanya, jika golongan nelayan boleh mendapat insentif bulanan dan pesawah pula memperoleh insentif untuk tiga bulan ketika semaian padi, maka golongan peladang dan penternak juga wajar mendapat imbuhan sama.

“Kita akan cuba, kita ikhtiar yang terbaik, bukan kerana duit, tetapi sebagai penghargaan kepada usaha yang kita (peladang dan penternak) lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Jalinan Peladang Peringkat Negeri Perak di Parlimen Bagan Datuk di Hutan Melintang, hari ini.

 

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, turut bertanya kepada hadirin sama ada mereka bersetuju dengan cadangan itu.

“Nelayan dapat daripada RM200 dah naik RM300 sebulan, pesawah dapat RM600 (untuk tiga bulan ketika menunggu padi masak), peladang ini apa ole-olenya (bantuannya)?

“Saya tanya depan-depan (merujuk kepada Tajuddin), takkan tiada apa-apa. betul tak? (Peladang dan penternak) nak juga, betul tak? Kalau selama ini kita bantu kerajaan, jika ada peruntukan khas, lebih kuat lagi kita bantu kerajaan,” katanya sambil disambut dengan tepukan hadirin.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan menggabungkan Lembaga Perusahaan Nanas Malaysia dengan komoditi kelapa yang akan dikenali sebagai Perbadanan Kelapa dan Nanas Malaysia.

Beliau berkata, langkah itu dilakukan hasil cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam mesyuarat Kabinet, baru-baru ini, agar kelapa dijadikan komoditi utama peladang khususnya di Bagan Datuk, Pantai Barat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Kenapa saranan demikian? Datuk Tajuddin boleh menyebutkan dalam setahun 7.5 juta biji kelapa diimport sebab nyior yang ada kita tebang, orang Bagan Datuk nak makan umbut kena beli, apa lagi nak buat kenduri, santan pun kena beli,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta LPP melakukan perancangan jangka panjang termasuk bekerjasama dengan perbadanan berkenaan bagi memulihkan semula industri kelapa dan membantu lebih 100,000 pekebun kecil kelapa seluruh negara termasuk mengagihkan benih baharu kelapa jenis matag untuk penanaman semula.

Katanya, kerajaan memberikan peruntukan awal RM50 juta bagi pemulihan industri kelapa termasuk untuk penanaman semula dan mengenal pasti mekanisme terbaik melakukannya agar kegagalan penanaman kelapa matag oleh pekebun terdahulu dapat diselesaikan dan tidak berulang. – WD MY