MIRI, 19 Dis – Pemberian insentif sebanyak RM200 sebulan kepada semua anggota Jabatan Imigresen yang melakukan tugas penguatkuasaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau sedia berunding dengan pihak berkaitan berhubung pemberian insentif itu.

Ia berdasarkan pencapaian hasil kutipan cukai berjumlah RM3.9 billion bagi tempoh 1 Januari hingga 1 Disember lalu, dan jumlah itu diyakini akan terus meningkat menjelang akhir tahun ini.

“Sekiranya kutipan hasil terus meningkat, saya menyokong supaya dipertimbangkan bayaran insentif penguatkuasa kepada 12,685 pegawai imigresen di seluruh negara, ” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Imigresen 2015.

Ahmad Zahid berkata, bayaran insentif itu melibatkan anggaran implikasi kewangan berjumlah RM30.4 juta setahun dan ia disasarkan meningkat kepada RM4.2 billion tahun depan.

“Bagi menghargai Jabatan Imigresen, saya sedia berunding dengan timbalan-timbalan saya dan Ketua Setiausaha Kementerian supaya elaun penguatkuasa ini diberi kepada pegawai imigresen,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Imigresen telah membuat kertas cadangan berhubung pemberian insentif khas itu kerana sehingga kini anggota dan pegawai Imigresen tidak menikmati apa-apa insentif khas semasa tugas penguatkuasaan seperti agensi penguatkuasaan yang lain.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen menghadapi pelbagai cabaran khususnya dalam menangani isu pendatang asing dan penguatkuasaan demi menjaga keselamatan negara. – Sharini Abdulah/CF (WD MY)

LEAVE A REPLY