PUTRAJAYA, 20 Nov – Integriti….Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kejayaan sebuah koperasi adalah integriti dalam mengendalikan sebuah koperasi.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan merasmikan mesyuarat agung tahunan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (Koprojaya), di sini hari ini, beliau berkata sesebuah organisasi seperti koperasi akan tumbang jika kepentingan peribadi mengatasi kepentingan anggota secara keseluruhannya.

Menurutnya terdapat kira-kira 13,200 koperasi berdaftar di seluruh negara dengan hanya 10 peratus daripadanya yang berjaya menambah modal, aset dan keuntungan.

“Yang penting adalah pengisian kepada objektif dalam piagam koperasi kerana kerap kali sesebuah koperasi berobjektifkan kepada siapa peneraju utama tanpa mengira pulangan pelaburan kepada ahli-ahli.

img_0533

“Kegagalan sesebuah koperasi adalah kerana kurang amanah, integriti tidak menjadi keutamaan dan apabila kepentingan peribadi mengatasi kepentingan ahli-ahli, maka koperasi mengalami masalah,” katanya.

Ahmad Zahid turut memuji pengurusan Koprojaya apabila berjaya memberi pulangan lebih 110 peratus kepada pelaburan anggota hanya dalam tempoh tiga tahun penubuhannya.

Katanya, koperasi seperti Koprojaya perlu menjalankan aktiviti yang relevan dalam menjaga kepentingan anggota dan keluarga mereka serta melipatgandakan pelaburan, sekali gus memberi kepuasan kepada anggota sesebuah organisasi.

“Aktiviti yang dijalankan (Koprojaya) melebihi daripada apa yang sepatutnya dijalankan sesebuah koperasi. Apabila piagam dan prinsip dipenuhi, saham RM1 kini bernilai RM11.40,” katanya.

Beliau berkata Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad dan Bank Rakyat adalah antara contoh koperasi paling berjaya di negara ini dengan masing-masing kini mempunyai aset kira-kira RM4 bilion dan RM60 bilion.

Sementara itu, Pengerusi Koprojaya, Muhammad Ammir Haron berkata koperasi yang didaftarkan secara rasmi pada 2013 itu setakat ini mempunyai 834 ahli penjawat awam muda dengan jumlah pendapatan meningkat 80 peratus merangkumi dividen sebanyak 10 peratus (selepas pembayaran zakat).

Peningkatan keahlian adalah amat memberangsangkan dengan modal syer ahli meningkat sebanyak 72 peratus, membawa kepada nilai keseluruhan modal syer ahli kini berjumlah lebih RM730,000,” katanya kepada media selepas majlis itu.

Muhammad Ammir berkata Koprojaya juga telah menyatakan hasrat kepada Timbalan Perdana Menteri untuk melaksanakan projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) khas untuk ahli Koprojaya.

“Ini kerana sebahagian ahli masih tidak mempunyai rumah atau sebahagian mereka yang memiliki rumah di luar Putrajaya sedangkan kini berkhidmat di sini,” katanya.

Menurutnya hasrat tersebut disokong penuh Ahmad Zahid bagi membina antara 300 hingga 600 unit rumah PPA1M yang akan dibangunkan di Presint 18, di sini. -WD MY