SABAK BERNAM, 22 April – Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri
Musa Hassan yang berkhidmat 41 tahun dalam pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM)
dapat melihat pelbagai cabaran yang terpaksa diharungi oleh pasukan
polis.

“Sekarang ini, banyak pihak sudah cabar integriti pegawai kerajaan
menjalankan tugas. Integriti KPN pun dicabar. Ini adalah satu masalah untuk
negara kita,” kata Musa.

Musa, yang kini berkhidmat sebagai pensyarah utama di Pusat Pengajian Perang
Saraf Media dan Informasi (CMWIS) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sempat
berkongsi pengalaman yang dilaluinya melalui forum perdana integriti anjuran
peserta Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) siri kesembilan baru-baru
ini.

Forum ini dianjurkan sempena penganjuran Projek Pemantapan Integriti (EIP),
melibatkan kira-kira 70 peserta daripada sektor swasta dan ahli Majlis
Perwakilan Pelajar Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah.

“Adakah mereka memang tidak puas hati dengan isu yang dibangkitkan atau
memang sengaja mahu memburukkan imej kerajaan?” soal beliau.

Musa turut menyentuh mengenai permainan sesetengah pihak yang mencipta
persepsi dalam kalangan anggota masyarakat terhadap pegawai-pegawai kerajaan
seolah-olah mereka (para pegawai kerajaan) tidak berkredibiliti untuk
melaksanakan tugas.

Inilah antara cabaran yang dihadapi anggota PDRM sejak beberapa lama.
Cabaran ini menjadi semakin berat selari dengan perkembangan semasa yang semakin
mencabar.

Jadi sebelum penubuhan IPCMC menjadi kenyataan, Musa mengambil tindakan awal
untuk memperbaiki imej pasukan polis, dimulai dengan isu rasuah.

Dari sinilah datangnya inisiatif pemakaian lencana ‘Saya Anti Rasuah’ yang
dikuatkuasakan kepada semua anggota PDRM.

“Rasionalnya mudah, saya mahu semua anggota berasa malu jika mereka berniat
meminta rasuah. Lencana itu ada untuk dilihat orang ramai,” kata Musa.

Meskipun ada pihak yang memperlekeh tindakan ini, Musa berkata ia sesuatu
yang amat diperlukan ketika itu. Sewaktu kepercayaan rakyat kepada PDRM semakin
menipis, ia membuktikan kesungguhan pasukan polis untuk memerangi gejala ini.

Memetik kata-kata hikmat orang Cina yang berbunyi ‘ikan membusuk bermula
dari kepalanya’, Musa menegaskan satu-satunya cara untuk menyemai nilai
integriti dalam kalangan anggota polis mesti bermula dari peringkat atas.

“Waktu saya jadi KPN, saya naik motosikal Honda Cup saya, ronda ke
balai-balai. Saya intai dahulu apa mereka buat, kemudian baru masuk balai untuk
periksa kerja mereka. Lebih bagus kalau menyamar macam ini, kalau tidak mereka
akan berlakon,” jelas beliau.

Musa menambah, beliau mengambil pendekatan terbuka bila timbul cerita di
blog-blog kononnya beliau adalah KPN terkaya kerana melindungi ‘king pins’ yang
terdiri daripada ketua gangster, sendiket pelacuran dan dadah.

Beliau buat laporan polis dan memohon kepada SPRM agar dirinya disiasat,
terutama jika benar ada wang haram yang masuk ke akaun beliau.

Musa turut menyentuh mengenai kepentingan untuk membuktikan integriti
pasukan polis melalui hasil kerja.

Dalam masa sama beliau turut mengakui, risiko menjadi mangsa tohmahan
sekiranya seseorang cuba menjalankan kerja dengan baik, kerana akan dituduh
mengganggu periuk nasi orang lain.

“Tidak perlu diumumkan. Jika diumumkan yang anda akan melakukan serbuan,
sebenarnya anda memberitahu penjahat itu mengenainya dan mereka akan bersiap
sedia. Lakukan sahaja secara senyap. Tangkap ketuanya, lepas tangkap baru buat
pengumuman,” katanya.

Menggunakan cara ini, pasukan polis berjaya menangkap sembilan individu
berpangkat Datuk yang terlibat dalam aktiviti gangsterisme, pelacuran dan dadah.

Musa menggunakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang
Haram (AMLA) 2001 yang lebih dikenali sebagai Akta 613 untuk mengambil tindakan
terhadap penjenayah-penjenayah ini.

Akta ini membolehkan pihak polis memasuki, menggeledah, menyoal siasat dan
menyita harta milik suspek tanpa waran geledah.- (WD MY)

LEAVE A REPLY