NEW YORK, 30 Mei – Interpol akan menggunakan pejabat serantau di
Singapura untuk mempertingkat kerjasama dengan Malaysia dalam membanteras
jenayah rentas sempadan terutama jenayah siber.

Komitmen Interpol itu dizahirkan semasa pertemuan antara menteri berkenaan
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Setiausaha Agung Interpol Jurgen Stock
di New York, Amerika Syarikat pada Jumaat.

Meneri Dalam Negeri itu kini dalam rangka lawatan kerja ke Amerika sejak 26 Mei lalu
hingga 1 Jun sempena Taklimat Terbuka Peringkat Menteri Majlis Keselamatan
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pejuang Pengganas Asing di New York.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju bahawa peralatan moden dan
peningkatan aspek bina upaya amat signifikan bagi menangani ancaman jenayah
selain kerjasama daripada masyarakat tempatan.

Antara isu lain yang dibincangkan adalah tentang aspek kepolisan moden dan keperluan
perkongsian maklumat dengan Interpol terutama mengenai peningkatan bilangan pejuang asing ke Iraq dan Syria.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya pada sesi taklimat menegaskan
walaupun Akta Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 adalah
undang-undang pencegahan, tetapi aspek pemulihan atau deradikalisasi turut
diberi tumpuan supaya individu terbabit dapat kembali ke pangkuan masyarakat.

“Pendekatan ini turut digunakan semasa pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam
Negeri 1969 yang telah dimansuhkan,” kata Zahid.

Beliau turut berkongsi maklumat bahawa sejak Feb 2013 sehingga kini, seramai
107 individu terdiri daripada 87 lelaki dan 20 wanita termasuk 16 warga asing
ditahan kerana terlibat dengan kumpulan militan IS.

Tambah Zahid 63 warga tempatan telah pergi ke Syria serta Iraq dan 11 rakyat
Malaysia terkorban di negara berkenaan.

Mengenai pengukuhan keselamatan sempadan negara, Ahmad Zahid menyatakan
tentang perancangan Kuala Lumpur untuk melaksanakan sistem pemeriksaan penumpang
bagi menyaring kemasukan pelawat asing ke Malaysia yang turut meliputi semakan
komprehensif sistem imigresen negara.

Diperingkat serantau pula, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015 dan bakal
Pengerusi Mesyuarat ke-10 Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan
akan menganjurkan satu mesyuarat Khas ASEAN mengenai Kebangkitan Radikalisasi
dan Keganasan Ekstremis pada 2 Okt.-Faizal Dato Badarudin,Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY