KUALA LUMPUR, 1 Julai – Permohonan….. Kerajaan Malaysia mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya membuat interpretasi penghakiman kes membabitkan kedaulatan Pulau Batu Putih, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan ICJ, permohonan itu difailkan di ICJ, The Hague, Belanda.

Dalam permohonan itu Malaysia memohon mahkamah supaya membuat keputusan dan mengisytiharkan dua perkara iaitu;

Perairan di sekeliling Pulau Batu Putih adalah kekal dalam perairan yang dikuasai Malaysia.

Keduanya, Tubir Selatan berada dalam perairan yang dikuasai Malaysia sekali gus Malaysia mempunyai hak kedaulatan ke atas Tubir Selatan.

Permohonan yang dikemukakan Malaysia mengikut Perkara 60, Statut ICJ itu ‘berasingan dan berautonomi’ daripada permohonan semakan semula penghakiman yang sama yang difailkan pada 2 Februari lalu ‘walaupun kedua-dua prosiding berkenaan berkaitan satu sama lain’.

Dalam penghakiman 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih atau Pedra Branca, nama pulau yang dituntut negara jiran itu.

Keduanya, kedaulatan Batuan Tengah adalah hak Malaysia, manakala bagi hak kedaulatan Tubir Selatan, mahkamah memutuskan Tubir Selatan menjadi hak kepada negara perairannya berada.

Berikutan itu, kedua-dua negara cuba melaksanakan keputusan mahkamah itu dengan menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC).

MSJTC diberi tugas untuk menyelesaikan isu ‘penyempadanan sempadan maritim antara perairan kedua-dua negara.

Bagaimanapun, Malaysia mendakwa pada November 2013 jawatankuasa berkenaan menemui jalan buntu untuk bersetuju berhubung maksud penghakiman mengenai Tubir Selatan dan perairan di sekeliling Pulau Batu Putih.

Sehubungan itu, dalam permohonan untuk mendapat interpretasi mahkamah, Malaysia mengemukakan alasan kedua-dua pihak gagal bersetuju dengan maksud dan/atau skop dua perkara penghakiman itu, iaitu;

1. Dapatan mahkamah bahawa ‘kedaulatan Pedra Branca adalah milik Singapura’.

2. Dapatan mahkamah bahawa ‘Tubir Selatan menjadi hak kepada negara perairannya berada.

Malaysia mendakwa kegagalan kedua-dua negara untuk bersetuju dengan perkara berkenaan menyukarkan proses penyelesaiannya.

Malaysia menegaskan penyelesaian pertikaian itu ketika ini adalah mendesak kerana mengambil kira jumlah trafik maritim dan udara yang tinggi di kawasan berkenaan.

Pada 2 Februari lalu, Malaysia mengemukakan permohonan semakan semula terhadap penghakiman ICJ berhubung kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata Malaysia memfailkan permohonan itu di ICJ, The Hague, Belanda, selepas meneliti beberapa fakta, antaranya ketika keputusan dibuat, ia tidak diketahui oleh mahkamah serta Malaysia, sebagai negara yang menuntut semakan.

Tuntutan semakan semula itu dibuat mengikut Perkara 61, Statut ICJ yang menyatakan permohonan untuk menyemak semula kehakiman perlu dibuat sebelum tempoh 10 tahun dari tarikh penghakiman.

ICJ memutuskan kedaulatan Batu Puteh yang terletak di perairan luar pantai Johor adalah milik Singapura dengan keputusan majoriti 12:4, manakala Batuan Tengah pula diputuskan sah milik Malaysia dengan keputusan majoriti 15:1.

Bagi Tubir Selatan, hak kedaulatannya akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya