SUNGAI PETANI, 22 Julai – Berkas……. Dua lelaki yang menunggang motosikal dipercayai ahli kongsi gelap Geng 04 bertindak membaling bom petrol ke arah pagar Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini pagi tadi.

Jurucakap polis, kejadian jam 3.30 pagi itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati atas penahanan beberapa ahli utama kumpulan berkenaan dalam Ops Cantas Khas, baru-baru ini.

Perbuatan itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan atau kerosakan harta benda kerana berlaku di luar pagar berhampiran pos kawalan.

“Siasatan awal, dua lelaki terbabit berkelakuan mencurigakan sebelum melarikan diri selepas anggota polis yang berada di pos kawalan cuba menghampiri mereka.

“Kedua-dua mereka yang menggunakan motosikal SYM Sport Bonus warna kuning terus mencampak satu bom petrol sebagai tanda amaran kepada polis.

“Pemeriksaan juga menemui sekeping kain rentang yang tertulis amaran membabitkan Geng 04 atas tindakan polis menahan beberapa anggota termasuk ketua kumpulan terbabit sekitar daerah ini,” katanya di sini, hari ini.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah.

Selasa lalu, seramai 62 orang dipercayai ahli kongsi gelap Geng 04 termasuk beberapa pemimpin kanan ditahan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) menerusi Operasi Cantas Khas di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Semua suspek kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, merakamkan penghargaan kepada JSJ berikutan kejayaan menahan 62 individu terbabit menerusi akaun Twitter miliknya. – WD MY