PETALING JAYA, 2 Feb – GEMPUR….. Lebih 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu cegah jenayah yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bersama Jabatan Imigresen Selangor dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, hari ini.

Operasi dijalankan oleh 14 pegawai dan 114 anggota ketiga-tiga agensi bermula pada jam 7 malam dan menumpukan kawasan perumahan rumah pangsa Flora Damansara.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata operasi dijalankan selepas pihaknya menerima rungutan dan aduan mengenai kebanjiran PATI di kawasan terbabit.

“Dalam operasi yang tamat pada jam 10.30 malam tadi, seramai 61 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu kita tahan 44 PATI terdiri daripada 34 lelaki dan 10 wanita kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

“Pecahan mereka mengikut negara pula adalah seramai 25 dari Indonesia, lapan dari Nigeria, Bangladesh empat orang, tiga warga India dan masing-masing seorang dari Pakistan, Yaman, Nepal dan Iran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Balai Polis Damansara di sini, hari ini.

Ku Mashariman berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai berhubung kebanjiran PATI di daerah Petaling Jaya.

“Kita terima banyak aduan dan rungutan, kita kemudian akan melakukan risikan sebelum menjalankan operasi.

“Teruskan salur maklumat berkaitan apa saja isu, kita akan bertindak berdasarkan aduan, kita mahu orang ramai terus membantu polis menyalurkan maklumat,” katanya.

Kesemua yang ditahan dihantar ke lokap Jabatan Imigresen Selangor di Komplek PKNS, Shah Alam sementara siasatan lanjut dijalankan. – WD MY