KUALA LUMPUR/SINGAPURA, 20 MAC – EKONOMI…. Pengendali restoran makanan segera, QSR Brands (M) Holdings dan pengeluar produk ternakan Leong Hup International Bhd berada dalam peringkat seterusnya untuk melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) pada suku kedua tahun ini, sekali gus membantu memulihkan pasaran utama yang lemah.

Menurut sumber, penyenaraian IPO terbabit yang ditangguhkan tahun lalu berikutan kelemahan pasaran, dijangka mampu menjana nilai sehingga AS$900 juta (RM3.7 bilion).

Katanya, penawaran itu mampu mencecah paras lebih tinggi dalam pasaran pada awal April.

Jumlah penjanaan dana dari IPO di Malaysia merosot kepada AS$170 juta (RM692.92 juta pada 2018), terendah dalam tempoh 20 tahun, berbanding dengan AS$1.8 bilion (RM7.34 bilion) yang direkodkan pada 2017, demikian menurut data Refinitiv.

“Pelabur antarabangsa secara amnya kurang berminat di Malaysia, jadi ia akan mewujudkan lebih banyak peluang,” kata seorang pegawai bank.

Saham tempatan terkesan pada Mei selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih pemerintahan kerajaan menerusi pilihan raya umum, selepas enam dekad.

Situasi itu mewujudkan ketidakpastian mengenai dasar kerajaan yang baharu dan indeks saham jatuh enam peratus tahun lalu, sejajar dengan pasaran serantau.

Mengulas mengenai penyenaraian IPO itu, Leong Hup berkata, syarikat itu sedang mendapatkan kelulusan kawal selia yang diperlukan bagi proses berkenaan.

Manakala QSR setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas mengenainya.

Menurut sumber bank, Leong Hup kini sedang melakukan rundingan untuk memuktamadkan pelabur utama dan menetapkan harga indikatif bagi IPOnya.

Kedua-dua dana tempatan dan dana asing dijangka mengambil saham dalam Leong Hup, menurut sumber bank lain.

Semalam, kerajaan mengumumkan mungkin akan menyenaraikan beberapa entiti miliknya yang sudah matang ke Bursa Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri dipetik sebagai berkata, tambahan daripada itu, kerajaan juga sedang meneliti untuk mengurangkan pegangan saham milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di dalam syarikat yang disenaraikan.

“Ini bertujuan memastikan pengawalan risiko yang lebih baik terhadap penerbitan Jaminan Kerajaan, akses pasaran lebih baik dan mengenalpasti peluang dalam penjualan aset yang berpotensi,” katanya. – WD MY