LONDON, 21 MEI – TINGKAT…… Iran meningkatkan kadar pengayaan uraniumnya kepada empat kali ganda, kata seorang pegawai di kemudahan nuklear Natanz dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Tasnim semalam.

Tindakan itu dilakukan seminggu selepas Iran secara rasmi menghentikan beberapa komitmen yang dipersetujui mengikut satu perjanjian nuklear antarabangsa.

Mengikut perjanjian itu, Tehran dibenarkan menghasilkan uranium diperkaya rendah dengan had sebanyak 300 kilogram serta boleh menghantar jumlah melebihinya keluar dari negara itu untuk simpanan atau dijual.

Bulan ini, Iran berkata, had itu tidak lagi terpakai ketika ia mengurangkan komitmennya sebagai reaksi kepada pengunduran sebelah pihak Amerika Syarikat (AS) daripada perjanjian itu.

Tidak jelas berapa banyak bekalan pengayaan uranium Iran berbanding had 300 kilogram itu.

Mengikut perjanjian, Iran boleh melakukan pengayaan uranium pada 3.67 peratus, jauh di bawah 90 peratus gred senjata atau 20 peratus di mana negara itu mengayakan bahan api nuklear sebelum perjanjian. – WD MY