KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Letak Jawatan….. Encorp Bhd mengumumkan peletakan jawatan tiga ahli lembaga pengarah termasuk pengerusinya Tan Sri Mohd Isa Samad.

“Mohd Isa yang juga bekas Pengerusi FELDA dan pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan bermula 1982 hingga 2004, memegang jawatan berkenaan sejak 30 Jun 2014.

“Dua lagi peletakan jawatan ialah Datuk Hanapi Suhada, 60, dan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, 54,” kata syarikat itu dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia.

Menurut Encorp, peletakan ketiga-tiga jawatan itu adalah sebagai perubahan nomini daripada pemegang saham utama.

Pada masa sama, syarikat itu juga mengumumkan tiga pelantikan ahli Lembaga Pengarah baharu.

Encorp berkata, tiga pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif baharu yang dilantik ialah Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim (58); Datuk Muzzammil Mohd Nor (45) dan Hussein Ismail (60).

“Syed Mohamed kini memegang jawatan sebagai Presiden dan Pengarah Eksekutif Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd, selain Pengarah di Felda Investment Corporation Sdn Bhd, Prasarana Integrated Development Sdn Bhd dan Endless Growth Sdn Bhd.

“Beliau memulakan kerjaya dalam industri perbankan di Bank Bumiputera (M) Bhd dan Bank Rakyat sebelum beralih ke beberapa firma lain termasuk Johor State Economic Development Corporation; Encorp Group Sdn Bhd; TH Properties Sdn Bhd; Knowledge Economic City (Madinah, Arab Saudi), DRB-Hicom Bhd dan Iskandar Investment Bhd,” kata pengumuman itu.

Encorp berkata, Muzzamil pula yang berkelulusan dari Universiti Malaya juga berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Besar (Pengurusan), FELDA bermula 2015 hingga kini, serta sebagai Pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd yang dilantik pada tahun ini.

“Hussein pula berpengalaman luas dalam pelbagai perkhidmatan perakaunan awam, termasuk audit, percukaian, kesetiausahaan, perkhidmatan perundingan dan insolvensi,” katanya. – WD MY