SEREMBAN, SEPTEMBER 28: LAWAN ANWAR…Bekas Menteri Besar Ne­geri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad mengesahkan akan bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Bekas Ahli Parlimen Jempol itu berkata, beliau membuat keputusan tersebut berikutan UMNO tidak meletakkan calon di kawasan berkenaan.

“Saya bertanding kerana kerusi itu telah dikosongkan, lagipun saya adalah orang Port Dickson,” katanya.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang (kini Port Dickson) itu berkata, beliau mempunyai peluang yang baik untuk menang kerana telah lama berkhidmat di kawasan berkenaan serta dikenali oleh pengundi.

Mohd. Isa menambah, de­ngan pencalonan dirinya dalam PRK Parlimen Port Dickson, beliau bukan lagi ahli UMNO.

Mohd. Isa yang juga bekas Pengerusi Felda pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri di Linggi dan Bagan Pinang yang terletak di bawah Parlimen Port Dickson.

Sementara itu, Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat), Leftenan Ko­lonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar, 57, diumumkan sebagai calon Pas.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan perkara itu dalam majlis pengisytiharan calon di Markas Pas Cawangan Bukit Tembok, Pasir Panjang dekat sini malam ini.

Mohd. Nazari yang berasal dari Batu Pahat, Johor pernah berkhidmat sebagai pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia selama 28 tahun.-MY WD