KUALA LUMPUR, 7 MAC – KETUA….. Barisan pembangkang di Dewan Rakyat kini mendapat ketua baru.

Diumumkan hari ini oleh Mohamad Hasan, pemangku presiden Umno itu berkata tugas yang dikosongkan oleh Dr Ahmad Zahid Hamidi akan diisi Anggota Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob.

Kata Mohamad pemilihan Ismail Sabri dibuat berdasarkan kekananan bekas menteri dari Pahang itu berbanding anggota parlimen lain.

“Jawatan ketua whip – yang kini disandang Ismail Sabri – akan diserahkan kepada Anggota Parlimen Padang Terap, Mahdzir Khalid,” katanya.

Mohamad berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini.

Untuk rekod Ismail Sabri ialah naib presiden Umno yang menjalankan tugas timbalan presiden parti itu, manakala Mahdzir ialah seorang lagi naib presiden yang berada dalam Dewan Rakyat.

Seorang lagi naib presiden ialah bekas menteri besar Johor, Khaled Nordin.

Mohamad dan Khaled masing-masing tidak mempunyai kerusi di parlimen.

Pengumuman itu dibuat dua hari sebelum sidang Dewan Rakyat bersambung semula Isnin ini. – WD MY