BAILTULMAQDIS, 27 MEI -PERCUBAAN…. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu melakukan percubaan terakhir memecah kebuntuan membentuk pakatan kerajaan, sebelum tarikh tamat mencapai persetujuan, Rabu depan.

Walaupun berkuasa sejak sedekad lalu, Netanyahu berdepan kesukaran tidak dijangka untuk mencapai perjanjian dengan beberapa parti nasionalis Yahudi bagi memastikan beliau mendapat penggal pemerintahan kelima, selepas pilihan raya Israel, 9 April lalu.

Perpecahan antara parti bekas menteri pertahanan, Avigdor Lieberman, parti Yisrael Beitenu dan Yahudi Taurat Bersatu mengenai rang undang-undang kerahan ketenteraan membabitkan pengecualian terhadap pelajar ultra Ortodoks Yahudi menyebabkan rundingan pakatan buntu.

Lieberman sudah lama memaklumkan lelaki ultra Ortodoks perlu turut serta dalam perkhidmatan mandatori warga Yahudi Israel. Beberapa parti ultra Ortodoks berkata, pelajar mereka patut dikecualikan kerana sudah berada di negara itu, sejak Israel ditubuhkan pada 1948.

Undang-undang negara itu menetapkan tempoh 42 hari untuk pengumuman kerajaan baharu yang akan tamat, Rabu depan dan jika gagal, Presiden Reuven Rivlin boleh menyerahkan tugas itu kepada pembuat dasar lain, selepas berbincang dengan pemimpin semua parti politik.

Ia bakal memberi laluan kepada bekas ketua tentera, Benny Gantz merangkap pemimpin parti berhaluan tengah Biru dan Putih untuk cuba membentuk pakatan kerajaan.

Bagaimanapun, Gantz perlu sokongan sebilangan sekutu parti Likud untuk memujuk Rivlin membuat keputusan beliau mempunyai majoriti pemerintah di parlimen.

Dalam video yang diterbitkan di Twitter, hari ini, Netanyahu berkata, beliau sudah menjemput semua rakan rundingan untuk berjumpa dalam ‘cubaan terakhir membentuk kerajaan nasionalis’ dan mengelak ‘pilihan raya semula yang tidak perlu’. -WD MY