BAITULMAQDIS, 1 Julai – Soal….. Polis Israel hari ini berkata, mereka menahan dan menyoal Menteri Hal Ehwal Baitulmaqdis Palestin, Fadi Al-Hadami, sementara sumber rapat berkata, beliau ditahan di kediamannya.

Jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld memberitahu AFP, Fadi ditahan dan disoal untuk ‘aktiviti di Baitulmaqdis.’

Penahanan beliau kemungkinan disebabkan aktiviti terbaharu yang termasuk mengiringi Presiden Chile, Sebastian Pinera ketika lawatan ke kompleks Masjidil Aqsa di sini, kata sumber rapat kepada menteri berkenaan.

Selasa lalu, Hadami dilihat mengiringi Pinera dalam lawatan di tapak suci bergolak itu, menaikkan kemarahan Israel, yang berkata, ia bersamaan pelanggaran peraturan dan persefahaman dicapai dengan Santiago untuk lawatan pemimpin negara berkenaan.

Status Masjidil Aqsa, dikenali di kalangan Yahudi sebagai Al-Haram Al-Sharif dan terletak di atas Tembok Barat, adalah satu daripada isu paling sensitif dalam konflik Israel-Palestin.

Chile kemudian berkata, kunjungan Pinera adalah bersifat peribadi dan kehadiran Hadami bukan sebahagian protokol rasmi. Penahanan itu diikuti beberapa hari pergolakan di sini.

Rosenfeld berkata, polis Israel masih terus menangani rusuhan dan gangguan di beberapa kejiranan.

Pergolakan berterusan itu susulan insiden tembakan seorang remaja Palestin dikenali Mohammed Obeid, 20, di kejiranan Timur Baitulmaqdis di Issawiya oleh polis Zionis, selepas mangsa didakwa membaling mercun. -WD MY