BAITULMAQDIS, 31 OKT – ISRAEL…. Rata-rata diplomat Israel memulakan mogok, hari ini, dengan menutup lebih 100 kedutaan dan konsulat di seluruh dunia sebagai bantahan terhadap suasana bekerja.

Mogok itu adalah sebahagian daripada pertikaian jangka panjang antara kakitangan diplomatik dan menteri kewangan yang menurut diplomat, menukar peraturan tuntutan perbelanjaan untuk meraikan tetamu rasmi.

“Kami terpaksa menutup wakil Israel di seluruh dunia, hari ini. Tiada perkhidmatan akan diberikan kepada orang awam dan sambutan delegasi tidak dibenarkan,” menurut kenyataan kesatuan kementerian luar.

Duta Israel ke Belgium, Emmanuel Nachson berkata, pertikaian itu membabitkan tuntutan perbendaharaan yang meminta resit dalam tuntutan perbelanjaan meraikan tetamu.

“Kedutaan kita tertutup seperti mana kedutaan Israel di seluruh dunia. Apabila kamu mengadakan majlis makan malam atau aktiviti lain, mustahil untuk menyediakan segala resit.

“Mereka perlu mempercayai kita apabila perbelanjaan sedemikian diisytiharkan,” katanya.

Akhbar kewangan Israel, Globes melaporkan kementerian luar dalam krisis mendalam, selepas pengurangan bajet yang banyak, bulan lalu.

Selain itu, ketua akauntannya mengarahkan wakil untuk menghentikan segala perjalanan perniagaan serta menghentikan kerja lebih masa untuk kakitangan. – WD MY