PUTRAJAYA, 2 OGOS – TIADA KAITAN….Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tiada kaitan dengan pertukaran tempat duduk Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Selasa lalu, jika benar ia berlaku.

“Saya tak tahu, saya tak nampak apa pun… itulah tempat dia (seperti ditentukan), itu istana punya kerja, bukan saya,” kata Perdana Menteri kepada media selepas Majlis Makan Malam Amal dan Pelancaran Tabung Jasamu Dikenang Ex-Kota Bharu Teacher’s College (KBTC) 2019 malam tadi.

Semalam, Najib menerusi hantaran di Facebook menjelaskan ketidakhadiran beliau ke istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong kerana tidak sempat mengambil pakaian istiadat Orang Besar Pahang miliknya kerana kedudukan tempat duduknya didakwa telah ditukar.

Najib mendakwa, beliau sepatutnya duduk di tempat ke-10 sebagai bekas Perdana Menteri mengikut protokol istiadat tetapi ditukar pada saat terakhir ke tempat duduk Orang Besar Pahang.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Dr Yusof menafikan dakwaan tempat duduk Najib pada Majlis Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Selasa lalu diubah saat akhir.

Mujahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 menegaskan, kedudukan itu ditetapkan dan Ahli Parlimen Pekan itu sudah dimaklumkan lebih awal mengenainya. -WD MY