KUALA LUMPUR, JUN 28: ANAK…Melahirkan bayi lelaki seberat 3.15 kilogram tanpa jahitan merupakan satu pengalaman luar biasa bagi seorang ibu begitu juga yang dilalui Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid.

Berita gembira mengenai isteri kepada usahawan dan penyanyi Dato’ Seri Aliff Syukri¬†itu dikongsi sendiri oleh ibu kepada pengasas produk kosmetik itu, Rozita Ibrahim menerusi laman Instagram miliknya kira-kira jam 4.50 petang tadi.

Menurut pengasas produk Sendayu Tinggi itu, menantunya, Nur Shahida melalui proses bersalin dengan mudah selama satu jam tanpa sebarang jahitan.

“Teruja sangat saya sampai tak pakai kasut berkejar sambut cucu. Senang sangat menantu saya bersalin selepas buka 4 cm.

“Tak sampai satu jam dia melahirkan bayi yang sangat comel. Berat 3.15 kg tanpa jahitan. Alhamdulillah, cucu lelaki yang comel sangat-sangat,” tulisnya.

Rozita memuat naik video yang memperlihatkan wajah bayi pasangan itu di laman sosialnya. Manakala penyanyi lagu Abang Nak Tegur itu turut memuat naik video ketika menemani isterinya yang sedang menunggu detik melahirkan bayi mereka.

Sebelum ini, Aliff sudah lama mengimpikan zuriat yang ramai dan tidak menyangka dia mendapat rezeki itu selepas mengambil dua orang angkat.

Aliff dan Shahida berkahwin pada Ogos 2007 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, 10, Qadejah El Zahra, 8, dan Ibraheem Adham, 6.

Pasangan ini mengambil anak angkat pada tahun lalu iaitu Ameena pada bulan Oktober yang kini berusia sembilan bulan dan Qayyum pada awal Disember yang usianya tujuh bulan.-MY WD