BAITULMAQDIS, 17 JUN – DENDA……Mahkamah Israel hari ini, mensabitkan isteri Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, atas kesalahan menyalah guna dana awam untuk membeli makanan.

Sara Netanyahu didapati bersalah mengeksploitasi kesilapan orang lain dan diperintahkan membayar denda serta pampasan, dalam satu persetujuan yang diluluskan oleh hakim majistret Baitulmaqdis, Avital Chen.

Netanyahu juga didenda 10,000 shekels (RM11,668) dan diperintahkan untuk membayar balik 45,000 shekels (RM52,065) kepada kerajaan.

Namun, wanita pertama itu memohon untuk membayar denda secara ansuran selama sembilan bulan.

“Persetujuan yang dicapai kedua-dua belah pihak adalah layak dan secara tepat mencerminkan perbuatan berkenaan mengikut tahap jenayahnya,” kata Chen dalam keputusannya.

Netanyahu, 60, yang sering menemani suaminya ketika berkhidmat sebagai pemimpin Israel, pada awalnya didakwa melakukan penipuan dan pecah amanah pada Jun 2018.

Ia adalah selepas beliau membeli makanan menggunakan perkhidmatan katering, walaupun mempunyai tukang masak di kediaman rasminya.

Pindaan ke atas pendakwaan yang diluluskan pada Ahad lalu itu menggugurkan dakwaan rasuah. – WD MY