BATU GAJAH, 15 Mei – Mengaku….. Suri rumah kepada Anggota Polis yang menjalankan perniagaan dalam talian dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu mendakwa kononnya dia diculik pada 3 Mei lalu.

Nurfauzilah Ariffin, 39, didakwa melakukan kesalahan itu di Kuarters Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, kira-kira jam 7.30 malam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan maklumat palsu melalui aplikasi WhatsApp dengan menghantar pesanan suara meminta tolong.

Dia turut didakwa menghantar pesanan melalui Messenger Facebook miliknya dengan memberitahu sedang berada dalam penguasaan seseorang yang ditulis dalam bahasa Indonesia.

Tindakan itu membuatkan suaminya anggota polis di IPD Seri Iskandar membuat laporan berhubung kehilangannya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadaruddin manakala tertuduh diwakili peguam, Hennie Soraya Hanafi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum enam bulan dan didenda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali. – WD MY