LONDON, 2 OKT – SAMAN….. Meghan Markle, iaitu isteri pewaris takhta diraja Britain, Putera Harry dilaporkan sudah memulakan prosiding perundangan terhadap akhbar Mail on Sunday, susulan penerbitan surat peribadinya, yang disifatkan sebagai menyalahi undang-undang.

Harry dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu diambil sebagai maklum balas terhadap perkara yang disifatkan sebagai tindakan membuli oleh akhbar Britain.

“Walaupun tindakan ini bukan sesuatu yang selamat, tetapi ia sesuatu yang tepat. Kebimbangan saya kini berulang kembali.

“Saya sudah melihat apabila seseorang yang saya sayangi menjadi bahan komoditi, hingga sampai ke satu tahap mereka tidak lagi dilayan atau dilihat sebagai seorang individu.

“Saya sudah kehilangan ibu dan kini menyaksikan isteri saya menjadi mangsa perkara yang sama,” katanya.

Ibunya, mendiang Puteri Diana meninggal dunia dalam kemalangan di Paris pada 1997, selepas dikejar sekumpulan jurugambar.

Diana adalah antara wanita yang paling banyak dirakam gambarnya di dunia, sebaik sahaja berkahwin dengan kerabat diraja Britain.

Sementara itu, firma guaman yang mewakili Markle, Schillings menggambarkan penerbitan surat berkenaan sebagai sebahagian daripada kempen oleh kumpulan media itu menyiarkan berita palsu, dengan tujuan menghina beliau dan suaminya.

“Kami sudah memulakan prosiding bagi isu pelanggaran privasi, pelanggaran hak cipta dan agenda lain seperti yang dinyatakan di atas,” kata firma itu tanpa mendedahkan sebarang maklumat mengenai surat itu atau tarikh penerbitannya.

Schillings berkata, kos kes berkenaan ditanggung oleh Harry dan Markle yang turut dikenali sebagai Duke serta Duchess of Sussex.

Pasangan diraja itu sedang dalam lawatan ke beberapa negara di selatan Afrika bersama anak mereka, Archie. – WD MY