AYER KEROH, 23 Nov – PERANAN….Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata isteri wakil rakyat seluruh negara perlu memainkan peranan untuk membantu dan memberi sokongan moral kepada suami masing-masing, khususnya dalam memenangi hati rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata sokongan itu bukan saja memberi kekuatan kepada suami yang selama ini berjuang atas nama kerajaan, tetapi juga kepada Barisan Nasional (BN).

“Badan amal seperti ini bukanlah sebuah badan yang semata-mata mencari keuntungan, tetapi (ia sebenarnya) sebuah interaksi yang wujud dalam kalangan kita, bukan saja memberi kekuatan kepada ahli tetapi juga sebagai pemangkin kepada suami masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat BN (PTIWRBNM) 2017, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Seramai 580 peserta dari 14 negeri, termasuk anggota Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) menyertai program yang berlangsung selama lima hari berakhir Ahad ini.

Buat julung kalinya, Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri (BISTARI) Melaka memperkenalkan inovasi teknologi maklumat dengan membangunkan aplikasi telefon pintar PTIWRBNM yang membolehkan peserta mengikuti perkembangan terkini seperti pendaftaran, jadual, keputusan perlawanan dan paparan berita sepanjang program berlangsung.

Hadir sama, Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Yang Dipertua BISTARI, Datin Seri Fadilah Abdullah.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut memuji Rosmah yang berjaya membawa banyak perubahan dalam BAKTI menerusi pelaksanaan pelbagai aktiviti bermanfaat kepada ahli dan rakyat keseluruhannya.

“Saya meneliti secara dekat setiap aktiviti yang dilaksanakan BAKTI, termasuk program PTIWRBNM pada tahun ini, dan yang saya pasti ia dinantikan oleh setiap ahli di seluruh negara.

“Saya berharap program tahunan ini akan berterusan selepas ini dengan harapan BN akan terus kekal membentuk kerajaan pada PRU14 nanti,” katanya. – WD MY