KUALA LUMPUR, OGOS 31:ISTIADAT…Istiadat Hari Keputeraan Rasmi dan Jamuan Teh Diraja sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara yang dijadualkan pada 9 September ini dibatalkan.

Datuk Pengelola Bijaya Negara, Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, berkata baginda menitahkan supaya peruntukan perbelanjaan untuk kedua-dua acara rasmi itu dikembalikan semula kepada kerajaan untuk disalurkan kepada Tabung Harapan Malaysia.

Katanya, baginda juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri yang merancang acara rasmi sempena sambutan ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda bagi tahun 2018.

“(Bagaimanapun) Acara rasmi lain sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda yang lain tetap diteruskan seperti yang dirancang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Laporan sebelum ini menyebut, tahun ini buat pertama kalinya, Yang di-Pertuan Agong tidak akan menganugerahkan sebarang bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan baginda.

Selain itu, Sultan Muhammad V bertitah, baginda amat tersentuh dan menzahirkan ucapan penghargaan serta terima kasih kepada rakyat yang bermurah hati menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia.

Baginda juga bertitah mahu bersama rakyat menunaikan tanggungjawab supaya peruntukan gaji dan emolumen baginda dikurangkan sebanyak 10 peratus sepanjang pemerintahan baginda sehingga 2021.-MY WD