KUALA LUMPUR, NOVEMBER 15:ISU BANGLO…Reformasi institusi digagaskan kerajaan dianggap sekadar ‘cakap kosong’ sekiranya kualiti perbahasan di Parlimen tidak menerapkan prinsip keadilan sejagat.

Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) ketika mengemukakan pendirian itu berkata, pandangan bahawa setiap dasar dan inisiatif dibentangkan kerajaan perlu ‘ditelan’ bulat-bulat tanpa dikritik mengikut keperluan sepatutnya dihakis.

Mengambil contoh acuan aura negara maju, beliau berkata, ahli Parlimen harus berpandangan terbuka dan profesional dalam mengupas mana-mana isu semasa dan dasar kerajaan.

“Di sebelah kerajaan, apa juga dibentangkan akan ‘ditelan’ (diterima) kecuali beberapa Yang Berhormat (YB) yang sanggup kritik, saya ucapkan ribuan terima kasih.

“Tapi yang lain, sanggup telan. Kalau sebut isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad), kenapa isu banglo tidak disebut?

“Mengapa isu Perwaja (Steel) yang saya kira kalau Jelutong (Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer) waktu ceramah Pakatan Rakyat, inilah isu yang penuh mulutnya sebut.

“Isu BMF (Bumiputera Malaysia Finance), Forex (tukaran wang asing) yang menyebabkan negara kita berdepan krisis besar, kalau benar profesional, sebut secara terbuka.

“Ini diajar dan diterapkan dalam Islam iaitu keadilan sejagat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019, di Dewan Rakyat, hari ini.

Nasihat umpama kuliah oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS tanpa sebarang celahan itu, bagaimanapun tidak ditujukan kepada ahli Parlimen seperti Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH PKR-Kapar) dan Hassan Abdul Karim (PH PKR-Pasir Gudang) yang dikatakan bersifat terbuka walaupun berada dalam blok kerajaan.

Muhammad Zawawi berkata, peluang mengemukakan inti pati perbahasan di Parlimen tidak seharusnya digunakan demi untuk melampiaskan nafsu dan amarah semata-mata.

“Sebaliknya, ini Dewan untuk perah akal, bina negara dan pacu menjadi negara maju. Insya-Allah, Kapar (Abdullah Sani) dan Pasir Gudang (Hassan) boleh ‘sekolahkan’ Jelutong (Rayer).

“Itu (Hassan dan Abdullah Sani) kawan dia (Rayer), jadi tak marahlah,” katanya mengundang tawa di Dewan Rakyat yang sejak perbahasan Belanjawan 2019 sering menyaksikan ‘aksi panas’ sehingga kadang kala mencetuskan pertikaian.

Mengalih topik perbahasan, Muhammad Zawawi berharap semangat federalisme yang menggariskan tanggungjawab Persekutuan terhadap kerajaan negeri dan sebaliknya diberi keutamaan, khususnya berkaitan penyaluran peruntukan kewangan demi memacu ekonomi setempat.

Prinsip keadilan itu, katanya, diterapkan semua fahaman agama di dunia ini, sekali gus berupaya memangkin usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

“Saya dianugerahkan peluang untuk belajar pelbagai agama kerana bidang pengajian, justeru satu yang boleh ditimba ialah semua fahaman agama menitipkan kepentingan berlaku adil.

“Kalau pergi ke Eropah di Itali atau Jerman, seolah-olah tiada sempadan kerana sampai tak sedar tatkala memandu, kita sudah masuk negara lain.

“Inilah negara maju. Kalau nak kejar status negara maju tapi tak boleh berlaku adil kepada negeri yang duduk dalam Malaysia, usah cakap soal sasaran negara maju menjelang 2020,” katanya.-MY WD