BAGAN DATUK, 8 Okt – KAWALAN SEMPADAN…… Timbalan Perdana Menteri┬áDatuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan membawa isu kelemahan kawalan keselamatan sempadan ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selasa ini.

Kajian kelemahan kawalan keselamatan di sempadan negara itu diutarakan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Datuk Yaacob Md Sam, melalui satu wawancara disiarkan sebuah akhbar hari ini.

Sambil menyatakan kajian itu perlu diberi perhatian serius, Ahmad Zahid berkata beliau sendiri sudah beberapa kali membangkitkan isu keselamatan sempadan, termasuk keperluan peralatan canggih seperti dron, radar dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi tugas kawalan sempadan.

“Saya amat bersetuju supaya koordinasi bukan sahaja dijalankan secara berkala, tapi koordinasi dari segi operasi juga mesti dilakukan setiap masa, seperti yang dilakukan agensi di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Deepavali 2017 kepada 800 penerima masyarakat miskin India bagi kawasan Parlimen Bagan Datuk di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Hutan Melintang, di sini hari ini.

Dalam wawancara itu, Yaacob dilaporkan berkata kajian terperinci pihaknya selama empat bulan antara lain mendapati penyeludupan dari Malaysia ke Thailand berlaku terang-terangan pada siang dan malam dengan anggota penguat kuasa bersikap “pejam sebelah mata”.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Yaacob dan kajian itu bahawa penyeludup turut melakukan kegiatan melalui kawasan pagar berduri yang tidak diselenggara dengan baik selain Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Justeru, katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, kerana kawasan sempadan negara terletak di bawah tanggungjawab Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan sempadan yang lain. – WD MY