KUALA LUMPUR, JAN 17: ISU SALIB….PAS menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa tidak tegas dan berdolak-dalik dalam mengendalikan isu lambang salib di Grace Residence, di Jelutong di Pulau Pinang.

Ketua penerangan parti itu Nasrudin Hassan menggesa menteri hal ehwal agama itu supaya tidak menjadi defensif sehingga dilihat lemah mempertahankan kepentingan Islam.

“Namun, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) semalam dilihat tidak tegas dan berdolak dalih.

“PAS mendesak menteri agama tegas membendung perkara ini. Jangan terlalu defensif sehingga beliau dilihat lemah untuk mempertahankan kepentingan Islam dan umat Islam di Malaysia,” katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Menurut Nasrudin isu lambang salib di bangunan kediaman tersebut sudah lama tular di media sosial.

“Ia turut dikecam oleh ramai penggiat media sosial. Malah, isu ini telah ditegur oleh Mufti Pulau Pinang,” katanya lagi.

Nasrudin juga menolak penjelasan ketua menteri Pulau Pinang dan pihak pemaju, menyifatkan kenyataan kedua-duanya sebagai “memperbodohkan rakyat” dan “cuba mencetuskan ketegangan kaum serta agama.”

“PAS meneliti kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang dan pihak pemaju Nova Mulia Development Sdn Bhd beberapa hari lalu.

“Kedua-dua kenyataan tersebut cuba memperbodohkan rakyat.

“Mereka cuba mencetuskan provokasi dan ketegangan kaum serta agama di Malaysia. Lambang salib sebesar itu sengaja dipaparkan, walhal mereka perlu menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini,” dakwanya.-MY WD