PUTRAJAYA, 1 Sept – Isu semasa seperti nilai ringgit, kestabilan pasaran kewangan,
pengukuhan keyakinan pasaran modal dan impak terhadap masyarakat umum antara
isu yang bincangkan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar
mempengerusikan mesyuarat itu di sini, yang dihadiri lapan anggotanya manakala
Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak melalui persidangan video
bagi membincangkan isu semasa ekonomi dan pasaran kewangan.

“Langkah dan polisi yang dibincangkan juga mengambil kira kesan yang
dijangka dan tidak dijangka (intended and unintended consequences). Ia akan
dibincangkan lebih lanjut pada mesyuarat kedua yang bakal diadakan pada Jumaat
ini,” kata Abdul Wahid pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JKE
itu.

Hadir pada mesyuarat tersebut termasuk Ketua Sekretariat yang juga Timbalan
Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Datuk K.Yogeesvaran, wakil-wakil
Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, EPU, Pejabat Perdana Menteri dan Suruhanjaya Sekuriti
(SC).

Abdul Wahid berkata BNM, EPU dan SC membentangkan taklimat komprehensif
mengenai keadaan ekonomi bagi membolehkan JKE melakukan diagnosis lengkap
mengenai persekitaran ekonomi dan pasaran, potensi senario dan kesannya sebelum
memutuskan tindak balas dasar khusus dan langkah-langkah yang berkaitan.

Katanya JKE, yang melaporkan terus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak selepas setiap mesyuarat, akan mengemukakan langkah-langkah yang
bersesuaian.

Semasa diminta berkongsi langkah dan syor yang dibincangkan dalam mesyuarat
hari ini, Abdul Wahid enggan mengulas lanjut sambil berkata masih terlalu awal
untuk menyebutnya.

Ditanya bila pengumuman mengenai langkah dapat dibuat, beliau berkata:
“biarlah kami menjalankan tugas kami. Sebarang dasar (baharu) akan diumumkan
oleh Perdana Menteri “.

Dalam mesyuarat itu, Abdul Wahid berkata JKE menegaskan bahawa momentum
pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus
pada tahun ini serta kerajaan tidak akan menambat ringgit dan melaksanakan
kawalan modal.

“Projek-projek pembangunan seperti MRT akan diteruskan namun ia akan
diselaraskan dari semasa ke semasa dengan mengambil kira kedudukan fiskal
negara,” katanya.

Mengenai ringgit, Abdul Wahid berkata kerajaan memantau segala aktiviti
kontrak hadapan yang tidak diserah (NDF) di luar Malaysia termasuk NDF di
Singapura.

“Selepas penurunan nilai Yuan, pasaran kewangan terjejas sedikit dan
Malaysia tidak terkecuali. Kita perlu memberi tumpuan kepada asas. Berikutan
Malaysia terus menikmati lebihan dagangan pada masa ini, ini juga akan
menjadikan lebihan akauan semasa.

“Bagi ringgit, apa yang kita perlu lakukan ialah memastikan kita kekal
kepada asas-asas di samping mengkaji semula pilihan dasar yang lain.

“Akhirnya, nilai ringgit akan mencerminkan asasnya,” katanya, sambil
menambah bahawa adalah wajar untuk tidak membuat spekulasi pergerakan ringgit
pada masa ini.- Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY