KUALA LUMPUR, 6 OGOS – MESYUARAT…..Wakil rakyat DAP bermesyuarat malam ini di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur bagi membincangkan rancangan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi di sekolah rendah.

Isu yang kini hangat dibahaskan itu mendapat bantahan dari masyarakat Cina dan turut mencetuskan perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin DAP.

Pemimpin utama DAP, termasuk Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Timbalan Pengerusi Gobind Singh Deo dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke dilihat tiba seawal 6.30 petang dan mesyuarat bermula 8.00 malam.

Pemimpin DAP lain yang turut kelihatan adalah Setiausaha Antarabangsa DAP Teo Nie Ching yang juga merupakan timbalan menteri pendidikan, selain Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong. Teo dan Liew merupakan dua pemimpin DAP yang dikritik oleh akar umbi parti mereka kerana mempertahankan rancangan kerajaan untuk memperkenalkan tulisan Jawi.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan akan memperkenalkan enam muka surat seni khat dan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah Empat yang turut melibatkan sekolah vernakular Cina dan India.

Pihak yang membantah cadangan itu menyatakan kebimbangan ia akan membebankan murid dan risau pengenalan tulisan Jawi sebagai langkah Islamisasi.

Bagaimanapun, pemimpin kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tulisan Jawi tidak terhad untuk orang Islam dan khat dianggap sebagai seni.

Pemimpin DAP lain yang kelihatan pada mesyuarat itu adalah ahli dewan undangan negeri (Adun) Tras Chow Yu Hui, yang mengeluarkan kenyataan yang disokong lebih 100 cawangan DAP dan Jawatankuasa Perhubungan Parlimen membantah cadangan memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi.

“Kita akan bawa suara dan pandangan akar umbi pada mesyuarat itu,” kata Chow kepada pemberita di lobi ibu pejabat DAP.

Adun lain menyokong kenyataan Chow dalam membantah cadangan berkenaan ialah Violet Yong (Pending), Lee Chin Chen (Bilut) dan Tan Hong Pin (Skudai).

Teo, yang ditekan dan dikritik kerana mempertahankan pengenalan tulisan Jawi, tiba pada pukul 7.50 malam dan sekadar tersenyum ketika melangkah masuk ibu pejabat DAP.

Pengerusi DAP Tan Kok Wai ketika ditemui pemberita menyifatkan mesyuarat itu akan membincangkan isu yang rumit. Bagaimanapun, kakitangan ibu pejabat DAP berkata tidak akan ada sidang media selepas mesyuarat berkenaan malam ini.

Sebaliknya, kenyataan media akan dikeluarkan sekiranya ada sebarang pengumuman. – WD MY