KUALA LUMPUR, 2 Nov – SENSASI… Rafizi Ramli, mengakui beliau terpaksa memilih isu menarik atau sensasi untuk mendapatkan perhatian semua pihak, termasuk dalam beberapa isu dibangkitnya yang membabitkan agensi kerajaan.

Ahli Parlimen Pandan mengakui perkara itu dalam program ‘Bicara Bajet’ di RTM1 selama sejam bermula jam 8.30 malam tadi yang turut menampilkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

“Memang saya terpaksa pilih yang menarik (untuk tarik perhatian semua pihak termasuk media),” katanya yang juga Naib Presiden PKR ketika ditanya mengenai FELDA dan badan berkaitan agensi persekutuan itu oleh moderator, Dahlan Maamor.

Rafizi sebelum ini dilaporkan mendakwa Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) ditipu dalam pembelian sebidang tanah di Empire Way, Webley, London bernilai 34 juta Pound (RM190.66 juta).

Beliau juga mendakwa British Virgin Islands (BVI) London Hotel (Private) Limited (FLH) tidak dimiliki FIC atau FELDA selain menyatakan tindakan FELDA tidak mengawal BVI FLH menyebabkan RM330 juta dilaburkan dalam Hotel Grand Plaza Kensington, mungkin diseleweng sepenuhnya.

Bagaimanapun, kenyataan Rafizi itu dinafikan FIC bahawa kenyataan pemimpin pembangkang itu tidak tepat dan mengelirukan kerana wang berkenaan termasuk cukai dikenakan adalah untuk pembayaran dua bidang tanah dan bukan sebidang saja seperti didakwa Naib Presiden PKR itu.

Menerima kenyataan Rafizi yang beliau terpaksa menggunakan isu menarik dan sensasi untuk menarik perhatian masyarakat, Razali menyifatkan Ahli Parlimen Pandan itu mempunyai maklumat terbatas menyebabkan apa yang didakwanya tidak tepat.

“Saya takut kes (isu dibangkitkan) sampai orang terlalu percaya. Ada penjelasan tidak boleh sebab isu ini masih dalam siasatan,” katanya yang menegaskan FELDA kini melalui proses transformasi selepas pucuk pimpinannya diambil alih Tan Sri Shahrir Samad selaku pengerusi, malah bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan urus tadbir telus.

Ketika mengulas status terkini siasatan terhadap FGV serta pembelian hotel FIC di Kuching, Sarawak dan Kensington, London, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad awal bulan lalu, dilaporkan berkata kertas siasatan kes Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV) dan pembelian hotel oleh FIC belum lengkap untuk diserahkan kepada Peguam Negara.

SPRM memulakan siasatan terhadap FGV pada Jun lalu dengan memfokuskan enam aspek antaranya dakwaan salah guna kuasa seorang pegawai atasan yang memberi kemudahan penerbangan kelas pertama kepada isterinya yang tidak layak mendapat kelebihan itu.

Siasatan turut meliputi isu projek pengubahsuaian kondominium kepada kroni selain transaksi perniagaan FGV dengan syarikat Cambridge Nanosystems bernilai STG100 juta (RM551 juta) serta urus niaga membabitkan Delima Oil Products Sdn. Bhd. (DOP) dengan syarikat Safitex.

Pada 21 Jun lalu, bekas Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad dan isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid tampil memberi keterangan kepada SPRM di Putrajaya sebelum agensi penguatkuasaan itu membuka kertas siasatan baharu berhubung pembelian hotel FIC di Kensington, London dan Kuching, Sarawak, masing-masing pada 14 Julai dan 27 Julai lalu.

SPRM kemudian menahan Isa pada 15 Ogos lalu yang menjadi antara suspek dalam kes pembelian hotel terbabit, sebelum beliau dibebaskan lima hari kemudian atas jaminan SPRM sebanyak RM150,000 dengan dua penjamin. – WD MY