KUALA LUMPUR, 4 Nov – Jalin Kerjasama……. Mengambil inisiatif menyalurkan maklumat mengenai penyakit yang banyak ‘mendampingi’ masyarakat hari ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjalin kerjasama dengan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) untuk menerbitkan naskhah Siri Ketahui Kesihatan Anda.

Memiliki 12 judul yang diterjemah daripada bahasa Inggeris, naskhah itu menggunakan pendekatan dan penyampaian yang mudah dengan matlamat supaya tidak sekadar menjadi panduan pengamal perubatan, sebaliknya boleh dirujuk oleh masyarakat umum.

Bagi Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron, berkata kerjasama dijalin dengan UTM dalam penerbitan siri itu tindakan yang tepat berikutan kepakaran daripada sudut perubatan yang dimiliki institut berkenaan.

Penerbitan buku tidak boleh dilakukan secara sendirian justeru kerjasama ITBM dengan UTM, membolehkan masyarakat mengakses buku perubatan yang sebelum ini dianggap sebagai bahan bacaan serius.

“Hampir setahun lalu, iaitu ketika Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang masih memegang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, saya tunjukkan buku kesihatan yang sangat tebal dan ilmiah tetapi beliau mahu saya tampilkan buku yang akan dibaca dan digunakan masyarakat.

“Jadi itu yang ITBM lakukan apabila kami memilih bahan bacaan perubatan yang bukan saja dekat dengan masyarakat, bahkan disampaikan dengan bahasa yang mudah difahami bagi membolehkan mereka mendapat maklumat tepat mengenai penyakit,” katanya pada media semalam. – WD MY