KUALA LUMPUR, OKTOBER 6:CEROBOH….Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini Islam tidak mengajar penganutnya untuk menceroboh ruang peribadi orang lain atas nama mencegah maksiat.

“Islam tak suruh kita pergi cari (dosa) orang, nak cari salah saja, tak suruh.

“Sampai nak panjat masuk dalam rumah orang apa semua, itu bukan Islam,” Mahathir memberitahu pemberita selepas menyampaikan ucapan di suatu persidangan di ibu negara hari ini.

Perdana menteri diminta mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Mujahid Yusof Rawa awal hari ini yang menyebut dasar Islam Putrajaya akan berpegang dengan Islam yang “rahmatan lil alamin” (rahmat ke sekalian alam).

Dalam wawancara denganĀ The Star, Mujahid dilaporkan memberi bayangan akan mengakhiri operasi serbuan oleh pihak berkuasa agama bagi menyiasat laporan khalwat atau maksiat lain yang dilakukan secara tertutup.

Islam tak zalim

Ditanya penekanan Mujahid mengenai Islam yang membawa rahmat ke seluruh alam itu, perdana menteri menjelaskan ia tergantung kepada taksiran seseorang dan Islam bukanlah suatu agama yang kejam.

“Islam tak zalim. Islam bukan soal potong tangan. Bukan itu.

“Terdapat banyak cara hukuman yang lebih ringan tetapi orang-orang ini mahu mengganggu orang lain, hendak potong tangan orang, penggal kepala, itu bukan Islam namanya,” tegas beliau.

Beliau berkata dalam Islam tidak mudah untuk mengambil nyawa seseorang.

“Hak kita sebagai manusia memang agama mengambil berat tentang nyawa seseorang, bukan mudah hendak bunuh orang, potong kepala kerana perbuatan itu membunuh orang dan Islam melarang membunuh orang lain,” katanya.-MY WD